Category: Travelogue

  • DAFTAR HAJI & UMRAH CUMA DI AGENSI BERLESEN PENUH

    DAFTAR HAJI & UMRAH CUMA DI AGENSI BERLESEN PENUH

    Daftar haji dan umrah cuma di agensi berlesen penuh

     

    KUALA LUMPUR : Setiap bakal jemaah dinasihatkan agar memainkan peranan dan tanggungjawab sendiri dalam memastikan agensi atau syarikat pengendali umrah dan haji yang dipilih mempunyai lesen berdaftar penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

    Menurut Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd (MATTSB),Muhammad Mursyid Abu Hassan, perkara itu harus menjadi keutamaan bagi mengelak terjebak dengan sebarang isu penipuan pakej umrah dan haji.

    “Setiap jemaah seharusnya bersikap lebih cakna dan bertanggungjawab untuk menyelidik latar belakang agensi pengendali umrah dan haji terbabit terutama lesen mereka, sama ada berdaftar penuh atau tidak dengan Motac.

    “Kita tidak menolak bahawa wujud agensi yang tidak berlesen. Bila terjadinya isu penipuan atau wujud masalah tertentu, pantauan tidak dapat dibuat kerana syarikat tersebut tidak ada lesen.

    “Saya tidak sebut kementerian tidak buat kerja tapi pelanggan perlu bersikap bertanggungjawab sebelum mendaftar dengan sesebuah agensi pengendali umrah atau haji itu. Penting untuk ambil tahu latar belakang syarikat tersebut agar tidak terjebak dengan perkara tidak diingini,”katanya.

     

     

    Selain itu, kata Muhammad Mursyid, pihaknya juga menggesa mana-mana syarikat pengendali umrah dan haji juga perlu menjaga amanah dengan baik dan tidak mudah gelap mata.

    “Setiap jemaah yang mendaftar, itu adalah satu amanah untuk mereka (pengendali umrah dan haji). Jadi kena jaga dengan baik. Tak ada orang boleh kaya dengan menipu jemaah.

    “Saya tidak kata sahabat- sahabat saya menipu. Tetapi orang yang mengambil kesempatan itu ada. Jadi setiap jemaah juga harus hati-hati dan elak berputih mata di kemudian hari,”katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai isu kenaikan harga pakej umrah dan haji kini, menurut Muhammad Mursyid, keadaan tersebut merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

    Ini kerana, katanya, untuk tempoh dua tahun ketika pandemik Covid-19 berlaku, industri pelancongan terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

    “Kenaikan harga pakej umrah dan haji memang berlaku sejak Covid melanda. Dua tahun pandemik berlaku, itu adalah tempoh mencabar buat industri pelancongan baik hotel mahupun syarikat penerbangan.

     

     

    “Kita sebagai pihak ketiga yang menghubungkan antara jemaah dengan pengurusan penginapan dan penerbangan misalnya pun turut hadapi masalah yang sama. Ada kenaikan sebanyak RM100, RM200 mahupun RM1,000 tetapi semua itu kena urus dengan baik.

    “Bila pembekal di Arab Saudi naikkan harga, kita pun tak dapat kawal. Bagaimanapun, Alhamdulillah ramai jemaah yang faham situasi,”katanya.

    Sementara itu, berkongsi mengenai perancangan syarikatnya akan datang sempena Ulang Tahun Ke-10 MATTSB, Muhammad Mursyid berkata, selepas menceburi pelbagai perniagaan, beliau bercadang untuk meneroka bidang perhotelan melalui syarikat baharu, Orak Villa & Resort.

    “Kami dah lalui 10 tahun pertama, 10 tahun kedua kami membuat perancangan lebih besar pada peringkat korporat termasuk nak wujudkan kumpulan syarikat Mursyid Alharamain. Kami mahu menjadi seperti sahabat Rasulullah, Usman bin Affan yang juga hartawan yang membantu memperkasa ekonomi umat Islam.

    “MATTSB juga menawarkan pakej umrah percuma sempena Ulang Tahun Ke-10 kerana kami ingin berkongsi kegembiraan dan rezeki yang dikurniakan Allah sehingga dapat bertahan dan berkembang maju sehingga sekarang,”katanyq.

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk menyertai peraduan pakej umrah percuma, boleh hubungi +60 11 1609 5176.

     

     

    Credit : https://utusantv.com/2023/05/15/kisah-kifarah-di-tanah-suci-isu-kenaikan-harga-pakej-umrah-dan-umrah-scam-mursyid-alharamain-kongsi-cerita-turut-rai-10-tahun-perjalanan-gemilang-agensi/

    SITI ATHIRAH DZULKIFLY (UTUSAN MALAYSIA)

  • Berkat Doa Isteri, Perniagaan Semakin Berkembang Pesat. Kini Buka Restoran Rasa Malaysia di Makkah & Madinah

    Berkat Doa Isteri, Perniagaan Semakin Berkembang Pesat. Kini Buka Restoran Rasa Malaysia di Makkah & Madinah

    Berkat Doa Isteri, Perniagaan Semakin Berkembang Pesat. Kini Buka Restoran Rasa Malaysia di Makkah & Madinah

     

     

    Benarlah kata pepatah, suami dan isteri adalah pelengkap dalam kehidupan sepasang suami isteri. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Hal ini diakui oleh Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd.

     

    Credit : https://utusantv.com/2023/05/15/kisah-kifarah-di-tanah-suci-isu-kenaikan-harga-pakej-umrah-dan-umrah-scam-mursyid-alharamain-kongsi-cerita-turut-rai-10-tahun-perjalanan-gemilang-agensi/

    ROSMAH IDAYU (NONA)

  • KISAH KIFARAH DI TANAH SUCI, ISU KENAIKAN HARGA PAKEJ UMRAH DAN UMRAH SCAM, MURSYID ALHARMAIN KONGSI CERITA. TURUT RAI 10 TAHUN PERJALANAN GEMILANG AGENSI

    KISAH KIFARAH DI TANAH SUCI, ISU KENAIKAN HARGA PAKEJ UMRAH DAN UMRAH SCAM, MURSYID ALHARMAIN KONGSI CERITA. TURUT RAI 10 TAHUN PERJALANAN GEMILANG AGENSI

    Kisah kifarah di Tanah Suci, isu kenaikan harga pakej umrah dan umrah scam, Mursyid Alharamain kongsi cerita. Turut rai 10 tahun perjalanan gemilang agensi

     

     

    Cerita kifarah dan pengajaran yang kerap dikongsikan segelintir jemaah sewaktu menunaikan ibadah Haji dan umrah di Tanah Suci tidak dinafikan memberi iktibar yang baik, namun ada kalanya menimbulkan ketakutan kepada sesetengah individu untuk ke Tanah Suci.

    Kata mereka, orang berdosa tidak layak menjejakkan kaki ke Rumah Allah, malah ada yang takut menerima balasan daripada dosa silam yang dilakukan.

    Menolak dakwaan tersebut, ulas Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd, Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan, Tanah Suci merupakan tempat bertaubat yang paling baik kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Malah nilai membuat amalan di sana sudah tentu lebih bermakna.

    “Nabi sebut orang yang bertaubat dari satu dosa, dia seperti tidak buat dosa. Manusia ini buatlah apa pun tetapi Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengampun. Namun tak bolehlah buat dan bertaubat berulang kali.

    “Kenapa nak takut untuk ke Tanah Suci kerana Allah Maha Pemurah dan Maha Pemaaf. Untuk beristigfar dari berbuat dosa, di sini pun boleh. Namun nilai membuat amalannya tidak sama seperti di Tanah Suci dan di sana ada suasana yang sesuai kerana kita akan rasa nak buat banyak amalan agar lebih dekat dengan Allah SWT. Jika di Tanah Suci, kita akan fokus dengan amal ibadah, berbeza dengan di Malaysia.

    “Bagi saya Tanah Suci terbuka kepada semua orang Islam dan merupakan tempat bertaubat yang sangat besar. Sebab itu tidak kisah bagaimana diri kita, Tanah Suci adalah tempat yang perlu kita pergi. Hidayah perlu dicari, tak boleh tunggu dia datang,” ulasnya kepada Wanita.

     

     

    Mursyid turut mengulas isu kenaikan harga pada pakej umrah dan menyatakan agensi kendaliannya menanggung separuh daripada kos agar tidak membebankan pelanggan.

    “Jujurnya pakej kami tidak murah. Kami pernah menawarkan pakej murah sewaktu harga turun. Selepas pandemik kenaikan harga dari pembekal sangat tinggi seperti hotel dan tiket kapal terbang. Bayangkan harga tiket sahaja sudah mencecah RM5000.

    “Apabila harga naik, jemaah kena tanggung namun di Mursyid Alharamain, kita akan tanggung separuh daripada kos naik. Memang tidak dinafikan ada kenaikan sehingga RM1300 namun itu ketika peak season. Isu ini berlaku secara tiba-tiba, bukan agensi sengaja naikkan kos,” tambahnya.

     

    Hajah Intan Fairuz Ramli, Pengarah Operasi Mursyid Alharamain

     

    Menasihatkan mangsa agar tidak berdiam diri untuk mengelak lebih ramai ditipu, ini antara tip yang dikongsi untuk mengelak daripada terkena scam umrah.

    “Untuk mengelak dari terkena scam, saya nasihatkan pergi dengan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (Motac). Jemaah yang nak pergi umrah, pilih syarikat yang berlesen. Jika mereka membeli dengan syarikat yang tiada lesen dan ditipu, ke mana dia nak mengadu? Banyak kes scammer adalah kepada orang tengah yang tiada lesen. Mereka merasakan umrah ini bisnes yang boleh buat duit.

    “Saya juga nasihatkan segala pembayaran dibuat melalui transaksi online, jangan beri secara tunai kerana sekurang-kurangnya kita ada bukti pembayaran. Bila bukti pembayaran tiada, bagaimana nak buat laporan polis?

    “Ada juga segelintir yang ditipu enggan membuat laporan kerana kata mereka ini ujian dunia. Kalau mereka tidak buat laporan, orang lain pula akan menjadi mangsa,” ulasnya.

     

    YB Datuk Seri Hj Zulkifli Al Bakri turut hadir memeriahkan sambutan 10 tahun : Sebuah Perjalanan Gemilang.

     

    10 tahun bertahan dan berjaya melepasi dugaan pandemik Covid-19, Mursyid Alharamain turut berkongsi perjalanan gemilang dengan pembukaan restoran dan katering sendiri di Mekah dan Madinah dan terbaharu, mereka bakal menceburi bidang perhotelan melalui syarikat Orak Villa & Resort.

    “Kami sudah lalui 10 tahun pertama, 10 tahun kedua kami membuat perancangan lebih besar pada peringkat korporat termasuk wujudkan kumpulan syarikat Mursyid Alharamain. Kami mahu menjadi seperti sahabat Rasulullah, Usman bin Affan yang juga hartawan yang membantu memperkasakan ekonomi umat Islam,” katanya.

     

    Raihan antara tetamu jemputan Rumah Terbuka Syawal & Ulang Tahun ke-10 Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd.

     

     

    Credit : https://utusantv.com/2023/05/15/kisah-kifarah-di-tanah-suci-isu-kenaikan-harga-pakej-umrah-dan-umrah-scam-mursyid-alharamain-kongsi-cerita-turut-rai-10-tahun-perjalanan-gemilang-agensi/

    UTUSAN TV

     

  • MURSYID ALHARMAIN BUKA RESTORAN RASA MALAYSIA DI MEKAH, MADINAH

    MURSYID ALHARMAIN BUKA RESTORAN RASA MALAYSIA DI MEKAH, MADINAH

    Mursyid Alharamain buka restoran Rasa Malaysia di Mekah, Madinah

     

    Mursyid Alharamain restoran dan katering sendiri supaya dapat mengawal kualiti makanan untuk jemaah

     

    KUALA LUMPUR – Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn. Bhd. (Mursyid Alharamain) berjaya membuka restoran dan katering di Mekah dan Madinah yang dinamakan Rasa Malaysia selepas 10 tahun beroperasi di negara ini.

    Pengarah urusannya, Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, kejayaan itu kerana pihaknya sentiasa prihatin dengan aduan pelanggan sejak beroperasi walaupun perkara itu dianggap remeh oleh sesetengah orang.

    Beliau mengakui pada peringkat peringkat awal perkhidmatan terdapat pelanggan yang mengadu mereka tidak berapa suka dengan rasa makanan yang disediakan.

    Ketika itu, kata beliau, pihaknya tidak dapat mengawal sepenuhnya isu tersebut kerana penyediaan makanan disediakan oleh pihak ketiga namun tetap mengambil aduan tersebut secara serius.

    “Kami mengambil berat sebab kami memang hargai setiap jemaah dan malah kami berbesar hati apabila mereka sudi mengenali kami.

    “Bagi kami, mereka bukan sekadar pelanggan tapi sudah menjadi macam keluarga di mana seronok dapat raikan mereka yang memberikan satu kepuasan.

    “Bertitik tolak dari maklum balas pelanggan juga kami berazam untuk mempunyai restoran dan katering sendiri supaya dapat mengawal kualiti makanan untuk jemaah,” katanya sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Mursyid Alharamain di Shah Alam semalam.

    Hasil kejayaan dan reputasinya selama 10 tahun, syarikat itu berjaya memenangi dua anugerah berprestij, IKON Brand Awards 2022 dan Business Sinar Harian Awards (BISA) 2023 yang membuktikan kepercayaan masyarakat dan industri dengan prestasi jenama Mursyid Alharamain.

    Antara tetamu VIP yang hadir pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Mursyid Alharamain yang berlangsung di Shah Alam semalam

    Mengimbas dugaan paling getir saat dunia dilanda pandemik Covid-19, Muhammad Mursyid berkata, ketika itu, beliau tekad mengekalkan semua kakitangan yang selama ini setia jatuh bangun bersama syarikat.

     

    “Ketika kami fikir, kami ada tanggungjawab untuk lindungi keluarga kami dan kakitangan kami ini yang danggap sebahagian daripada keluarga dn sebab itulah kami kekalkan mereka sehingga sekarang.

     

    “Walaupun masa itu agak risau juga bila tengok duit keluar dan simpanan berkurangan, tetapi Alhamdulillah Allah lorongkan untuk kami ubah fokus kepada penjualan kurma dan makanan sunnah sehingga kami tubuhkan syarikat baru, Alhijaz Universal Sdn. Bhd.,” katanya.

     

    Ditanya rahsia bertahan selama 10 tahun malah berjaya melepasi dugaan pandemik itu, Muhammad Mursyid berkata, pada awal perniagaan sehingga sekarang, Mursyid Alharamain menawarkan keunikan dalam pakej umrahnya melalui tagline ‘Rasai Kelainan Umrah Bersama Mursyid Alharamain’

     

    “Dari dulu kami tawarkan lima kali umrah kepada jemaah di mana kami yang membawa mereka setiap kali umrah dan bukan mereka pergi sendiri dengan teksi.

     

    “Itu keistimewaan kami menyantuni jemaah selain membawa jemaah menziarahi lokasi-lokasi unik bersejarah, sampai ada beberapa lokasi menjadi ikutan syarikat umrah yang lain. Kami juga tawarkan hotel dekat dan selesa, sajian makanan berkualiti, serta mutawif berpengalaman.

     

    “Alhamdulillah, kepercayaan dan kepuasan hati pelanggan meningkat membuatkan mereka tertunggu-tunggu pakej umrah kami setiap tahun. Malah ada jemaah yang sudah 13 kali berturut-turut mengerjakan umrah dengan kami dan ada pula yang jadi rakan bisnes kami serta bersama-sama bantu perkasakan Mursyid Alharamain.

     

    “Pelanggan kami ni baik sangat, sampai ada yang jumpa kami semata-mata nak bagi beberapa peluang untuk naikkan lagi prestasi syarikat. Kami terharu sungguh,” ujarnya yang  turut memberikan penghargaan kepada isterinya, Intan Fairuz Ramli yang juga rakan niaganya sejak awal pertubuhan syarikat berkenaan.

     

    Bercerita mengenai perancangan akan datang, Muhammad Mursyid berkata, selepas menceburi pelbagai perniagaan, beliau bercadang menceburi bidang perhotelan melalui syarikat baharu, Orak Villa & Resort.

     

    Sementara, Muhammad Mursyid memberitahu, Mursyid Alharamain ketika ini menawarkan pakej umrah percuma sempena Ulang Tahun Ke-10 kerana pihaknya ingin berkongsi kegembiraan dan rezeki yang dikurniakan Allah sehingga dapat bertahan dan berkembang maju sehingga sekarang.

     

    Bagi membalas kepercayaan mereka, kami menganjurkan peraduan pakej umrah percuma di mana maklum lanjut boleh menghubungi +60 11 1609 5176. – MalaysiaGazette

     

    Credit : https://malaysiagazette.com/2023/05/14/mursyid-alharamain-buka-restoran-rasa-malaysia-di-mekah-madinah/

    MALAYSIA GAZETTE (SPROUT YOUR MIND)

     

  • BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE-32 : KEISTIMEWAAN DAN FADHILAT 10 AWAL ZULHIJJAH : MARILAH KITA BERAMAL

    BAYAN LI AL-HAJ SIRI KE-32 : KEISTIMEWAAN DAN FADHILAT 10 AWAL ZULHIJJAH : MARILAH KITA BERAMAL

    MUKADIMAH

    Kita telah sampai kepada awal Zulhijjah yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Justeru, Bayan Lil Haj pada kali ini dinamakan dengan keistimewaaanya dan fadhilat 10 awal Zulhijjah.

    Untuk memahami kelebihan, fadhilat dan keistimewaanya, kami nukilkan daripada kitab Lata’if Al-Maarif oleh Ibnu Rajab al-Hanbali.

    Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

    مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

    Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

    Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)

     

    Perbahasan tentang kelebihan 10 hari terawal Zulhijjah terdapat dalam 2 fasal : Kelebihan beramal dalam waktu itu dengan hadis ini menjadi dalilnya, dan kelebihannya yang tersendiri.

    FASAL PERTAMA : Kelebihan beramal soleh pada 10 hari tersebut.

    Hadis menjadi dalil kepada yang beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisi-Nya.

    Hadis ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz,

    مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ أفضل من أيام العَشْر

    Maksudnya : “Tiada hari-hari amalan yang dilakukan padanya menjadi afdal berbanding 10 hari awal Zulhijjah.”

    Hadis ini juga diriwayatkan dengan terdapat keraguan disisi perawi pada lafaz: Paling disukai atau afdal. Apabila sesuatu amalan dalam 10 hari ini dan lebih disukai oleh Allah berbanding amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain dalam setahun, maka jadilah amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam 10 hari ini afdal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya. Sebab itulah, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya ?”, Baginda bersabda, “Walaupun jihad, ia tidak menandinginya.”Kemudian, Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad kerana baginda juga pernah ditanya, “Manakah jihad yang afdal?” Baginda menjawab, “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid[1].”Orang demikian mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

     

    Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa,

    اللَّهُمَّ اعْطِني أَفْضَلُ ما تُعطِيْ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

    Maksudnya : “Ya Allah, Berikanlah kepadaku sebaik-baik pemberian yang engkau berikan kepada hamba-Mu yang soleh.”

    Lalu baginda bersabda kepadanya,

    إِذَنْ يُعْقَرُ جَوَادُكَ ، وَتَسْتَشْهِدُ

    Maksudnya : “Oleh itu, pastikan (Kamu berjihad sehingga) kudamu mati ditikam dan kamu mati syahid.”

    Riwayat Ibnu Hibban (4639), al-Hakim (2/74) di dalam al-Mustadrak

     

    Secara khususnya, Jihad sebegini lebih baik daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah.

    Manakala jihad yang lain, amalan dalam 10 hari terawal Zulhijjah menjadi afdal dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, malah termasuk semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahwa amalan yang kurang utama, yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan yang seperti amalna yang lebih utuama yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan yang pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadis riwayat Ibnu Abbas R.A, iaitu :

    وَالْعَمَلَ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ سَبْعمِائَةِ ضِعْفٍ

    Maksudnya : ” Dan amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan digandakan pahalanya sehingga 700 kali”

     

    Namun, sanadnya terdapat kelemahan.

    Selain itu, kadar gandaan pahala dinyatakan dalam banyak riwayat yang berbeza. Al-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan hadis daripada Al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab, daripada Abu Hurairah, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda,

    مَا مِن أَيَّامٍ من أيام الدٌّنْياَ أَحَبُّ إِلىَ اللهِ أَنْ يُتَعَبّدَ له فيها من أيام العَشْرِ، يَعْدِلُ صِيامُ كُلُّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ وَقِيَامِ كُلُّ لَيلةٍ مِنْهَا بقيام ليلة القَدْرِ

    Maksudnya : “Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukkan ibdah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijjah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr.”

    Riwayat al-Tirmizi (758), Ibnu Majah (1728)

     

    Namun, ulama  hadis melemahkan Al-Nahhas Bin Qahm.Al-Tirmizi menyebutkan daripada Al-Bukhari bahawa hadis tersebut diriwayatkan daripada Al-Qatadah daripada Sa’id, secara mursal. Thuwair Bin Fakhitah – seorang perawi yang lemah – turut meriwayatkannya daripada mujahid, daripada Ibnu Umar R.A, Katanya :

    ليس يوم أعظم عند الله من يوم الجمعة ليس العشر فإن العمل فيها يعدل عمل سنة

    Maksudnya : “Tiada suatu hari yang paling agung di sisi Allah selain hari Jumaat bukannya 10 hari (Terawal Zulhijjah) kerana suatu amalan yang dikerjakan pada hari itu menyamai amalan selama setahun.”

     

    Abu Amru al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab Al-Hikayat dengan sanadnya, daripada Humaid, beliau berkata, “Aku mendengar ibnu Sirin dan Qatadah berkata, Puasa setiap hari daripada 10 hari Zulhijjah menyamai puasa setahun.”Sebenarnya, banyak lagi hadis yang diriwayatkan dengan gandaan ganjaran pahala, antaranya: Harun Bin Musa Al-Nahwi meriwayatkan dengan berkata, ” Aku mendengar Al-Hassan menceritakan daripada Anas bin Malik, Katanya, pernah disebutkan tentang 10 hari tersebut : Setiap harinya menyamai seribu hari, dan hari Arafah menyamai 10 000 hari.”

    Al-Hakim berkata, ” Semua ini adalah sejumlah hadis yang tidak disebutkan sanadnya daripada Rasulullah SAW .”

     

    Terdapat juga riwayat tentang gandaan pahala yang kurang daripada setahun. Humaid bin Zanjawaih berkata, Yahya bin Abdullah Al-Harrani menceritakan kepada kami, Abu Bakr bin Abu Mariam, menceritakan kepada kami, daripada Rasyid Bin Sa’ad, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    صيام كل يوم من أيام العشر كصيام شهر،

    Maksudnya : “Puasa setiap hari daripada 10 hari (terawal Zulhijjah ) menyamai puasa sebulan.”

    Hadis ini disandarkan kepada Ibnu Zanjawaih di dalam Kanzul ‘Ummal (12117)

     

    Hadis ini mursal dengan sanad yang lemah.

    Abdurrazaq turut meriwayatkan dalam kitabnya daripada Ja’far, daripada Hisyam,daripada al-Hassan, katanya ,”Puasa sehari daripada 10 hari ( terawal Zulhijjah ) menyamai puasa dua bulan.”[2] Abdul Karim meriwayatkan daripada Mujahid, katanya, “Amalan yang dilakukan dalam 10 hari tersebut akan digandakan pahalanya.”

    Berkenaan gandaan pahala juga,terdapat banyak lagi hadis marfu’ yang lain tetapi palsu. Oleh itu, kami abaikannya serta hadis-hadis lain yang menyerupai palsu yang menyebutkan kelebihan 10 hari itu.

    Hadis riwayat Ibnu Abbas berkenaan gandaan pahala seluruh amal soleh dalam 10 hari terawal Zulhijjah tanpa sebarang pengecualian pun sudah menjadi dalil dalam perkara ini.

    Di samping itu, terdapat hadis yang diriwayatkan secara khusus berkenanan puasa, qiamullail, dan memperbayakkan zikir pada tempoh tersebut. Apa yang disebutkan adalah kelompok dalil yang baik untuk diceritakan, tanpa mengambil dalil yang tidak baik untuk diceritakan kerana statusnya tidak sahih. Hal ini terdapat dalam hadis riwayat Abu Hurairah yang lalu, hadis mursal Rasyid bin Sa’d, suatu riwayat daripada hadis al-Hasan , Ibnu Sirin, dan Qatadah tentang ibadah puasa pada tempoh itu.

     

    Diriwayatkan dalam kitab al-Musnad dan Sunan, daripada Hafsah,

    كَانَ لَا يَدَعُ صِيَامَ عاشوراءَ والعَشر وثلاثة أيام من كُلِّ شَهْرٍ

    Maksudnya :Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa pada hari Asyura, 10 hari (terawal Zulhijjah), dan tiga  hari setiap bulan.”

    Riwayat Imam Ahmad (6/287), al-Nasaie (4/220). Kata al-Zaila’i di dalam Ansab al-Rayah: hadis ini daif

     

    Tetapi, terdapat perselisihan dalam kalangan ulama pada sanadnya . Diriwayatkan juga daripada salah seorang isteri Nabi SAW:

    أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ

    Maksudnya :” Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa  9 Zulhijjah.”

    Riwayat Abu Daud (2438)

     

    Antara individu yang berpuasa selama 10 hari terawal Zulhijjah ialah Abdullah bin Umar R.a. Riwayat daripada al- hassan, Sirih , dan Qatadah tentang kelebihan puasa dalam tempoh tersebut telah dinyatakan sebelum ini, dan ia juga adalah pandangan kebanyakan atau ramai daripada kalangan ulama.

    مَا رَأَيْتٌ رَسُولَ اللهِ صَائمَا العَشْرِ قَطّ

    Maksudnya :”Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari( terawal Zulhijjah )

    Riwayat Muslim (1176),Abu Daud (2439),al-Tirmizi (756),Ibnu Khuzaimah (2103),Ibnu Majah (1729)

    Jawapan Iman Ahmad kepada hadis ini dilihat berbeza. Satu ketika beliau mengatakan ada hadis lain yang diriwatkan bertentangan denganya lalu menyebutkan hadis riwayatkan Hafsah. Beliau juga menyatakan bahawa wujud perselisihan pendapat ulama berkenaan kedudukan sanad hadis riwayat Aisyah yang diriwayatkan oleh al-A’masy secara bersambung, namun Mansur meriwayatkannya daripada Ibrahim secara mursal.

    Selain itu, ulama selain beliau menjawab, apabila berlaku perselisihan antara Aisyah dan Hafsah ketika menafikan atau mengisbatkan suatu perkara, pandangan yang mengisbatkan diambilkan kerana orang tersebut mengetahuinya berbanding orang yang menafikan. Satu ketika yang lain, Imam Ahmad menjawab bahawa Aisyah memaksudkan Baginda tidak berpuasa 10 hari secara sempurna, manakala Hafsah memaksudkan Baginda berpuasa pada kebanyakan harinya. Maka, ada hari yang Baginda berpuasa , dan ada hari yang Baginda tidak berpuasa. Cara penggabungan ini bersusaian dengan riwayat yang menyatakan,” Aku tidak pernah melihatnya berpuasa 10 hari.”

    Adapun perawi yang meriwayatkan,”Aku tidak pernah melihatnya berpuasa dalam tempoh 10 hari ini,” kaedah gabungan hadis sukar atau tidak dapat  dilakukan. Ibnu Sirin tidak suka apabila dikatakan, “Seseorang berpuasa pada 10 hari (alam Zulhijjah),” kerana ditakuti memasukkan hari raya korban ke dalamnya,tetapi hendaklah disebut, “seseorang berpuasa pada Sembilan hari.” Namun, apabila ibadah pusa disandarkan pada 10 hari tersebut, maksudnya puasa yang dibenarkan untuk dilakukan sahaja. Sebelum ini, telah disebutkan sebuah hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada 10 hari terawal Zulhijjah. Jika ada orang yang bernazar untuk berpuasa pada 10 hari tersebut, maka dia hendaklah mengerjakan sebanyak Sembilan hari sahaja. Dia juga tidak dikenakan qada atau kafarah apabila tidak berpusa pada hari raya korban kerana penggunaan kalimah 10 hari ini difahami sebagai sembilan hari menurut ‘uruf.

    Boleh jadi perbahasa tentang kewajipan qada dan kafarah ini menimbulkan khilaf dalam kalangan ulama. Ahmad mengatakan bahawa sesiapa yang bernazar untuk berpuasa dibulan Syawal, kemudian tidak berpuasa pada hari raya fitrah dan berpuasa pada baki harinya, maka dia hendaklah mengantikan puasa sebanyak dan dikenakan kafarah. Al-Qadhi Abu Ya’la berkata,’ keadaan tersebut adalah apabila seseorang yang berniat puasa penuh pada bulan Syawal. Jika niatnya mutlak, dia tidak dikenakan apa-apa kerana hari raya fitrah dikecualikan di sisi syarak. Ini adalah satu kaedah daripada sejumlah kaedah fiqah, iaitu adakah satu yang umum dikhususkan dengan syarak atau tidak? Dalam masalah ini, terdapat khilaf yang masyur.

    Berkenanan qiamullail pada 10 malam terawal Zulhijjah, ia sangat digalakkan dan hadis berkenaannya telah dinyatakan sebelum ini. Terdapat juga pelbagai riwayat menyatakan secara khusus tentang kelebihan menghidupkan malam dua hari raya, namun tidak sahih. Ada juga riwayat tentang doa yang dimustajabkan pada dua malam itu, Dan al-Syafi’i serta ulama lain menggalakkanya. Kebiasaan Sa’id Bin Jubair, perawi yang meriwayat kan hadis ini daripada Ibnu Abbas R.A, apabila tiba 10 hari terawal Zuhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh beramal sehingga hampir-hampir tidak berdaya melakukannya. Diriwatkan daripanya lagi, katanya,” janganlah kamu memadamkan pelita pada waktu malam selama 10 hari ini kerana ibadah sangat disukai untuk dilakukan saat itu.” Adapun galakkan memperbanyakkan Zikir, Firman Allah SWT berikut menjadi dalil kepadanya , :

    وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ

    Maksudnya: ” Dan supaya menyebut nama allah pada hari-hari yang dimaklumi.”

    (Surah al-Hajj : 28)

    Hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah menurut jumhur ulama dan perbahasan tentangnya akan disebutkan selepas ini, Insya-Allah.

     

    Diriwayatkan dalam Musnad Al-Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda,

    مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ : هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

    Maksudnya: ” Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya.

    Riwayat Imam Ahmad (6154)

     

    Jika ada orang yang berkata, “Apabila suatu amalan yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama berbanding amalan yang dilakukan pada waktu selainnya walaupun ia sendiri afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari itu disebabkan keistimewaan masanya, maka jadilah amalan yang kurang utama tadi lebih utama menandingi jihad yang merupakan sebaik-baik amalan seperti yang dinyatakan dalam banyak dalil. Inilah pandangan Imam Ahmad dan Ulama yang lain. Seharusnya haji afdal daripada jihad kerana haji hanya boleh dilakukan dalam tempoh 10 hari itu, dan ia juga adalah di antara atau sebaik-baik amalan yang dilakukan dalam masa tersebut. Namun, bagaimanakah jihad boleh menjadi afdal daripada haji, sedangkan telah disabitkan al-Sahihain, daripada Abu Hurairah R.A :

    إِذْ جَاءَ رَجُلٌ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ الله ، أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : إِيمَانٌ بِالله ، وَتَصْدِيقٌ بِهِ ، وَجِهَادٌ فِي سَبِيلِ الله ، وَحَجٌّ مَبْرُورٌ

    Maksudnya: “Seorang lelaki berkata, ‘Wahai Rasulullah,apakah amalan yang afdal,’ Baginda menjawab, ” beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian dia berkata , ” selepas itu , apa?” Baginda menjawab,” jihad dijalan Allah.” Dia berkata lagi, ” seterusnya, apa? ” Baginda menjawab, ” haji yang mabrur.”

    Riwayat al-Bukhari (26), Muslim (83), al-Tirmizi (1658)

     

    Jawapannya: Keluar berjihad sunat lebih afdal daripada keluar menunaikan haji sunat disisi jumhur ulama, dan hal ini disebutkan oleh Imam Ahamad melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin Al-ash. Ada juga hadis-hadis marfu’ tentangnya, tetapi sanadnya dikritik, namun hadis riwayat Abu Hurairah diatas jelas menyatakan sedemikian.

    Hadis ini boleh digabungkan dengan hadis Ibnu Abbas melalui dua cara.

    1. Jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali lebih afdal.

     

    Hadis Ibnu Abbas menyebutkan secara jelas bahawa jihad orang yang keluar bersama hartanya serta tidak kembali afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Maka, Kesimpulannya haji afdal daripada jihad kecuali jihad orang yang keluar bersama hartanya dan tidak kembali. Itulah maksud yang terdapat pada hadis Abu Hurairah dan saat itu, Maksud dua hadis ini dapat digabungkan.

     

    1. Amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara ain yang membolehkannya menjadi afdal.

     

    Pandangan yang lebih tepat ialah amalan yang kurang utama kadangkala disertai dengan perkara lain yang membolehkannya menjadi afdal daripada amalan yang lebih utama, seperti yang dijelaskan sebelum ini. Ketika itu, haji boleh disertai dengan perkara lain yang menjadikannya afdal daripada jihad, dan boleh jadi juga ia bersendirian lalu jihad menjadi afdal daripadanya. Sekiranya hal yang dikerjakan adalah fardhu, maka ia lebih afdal daripada jihad sunat kerana amalan fardhu ain afdal daripada amalan fardhu kifayah menurut jumhur ulama’.

     

    Terdapat hadis berkenaan hal ini yang menyebutkan haji dan jihad secara khusus yang diriwayatkan daripada Abdulllah bin Amru bin al-Ash’, serta diriwayatkan juga secara marfu’ melalui pelbagai jalan periwayatan, namun sanad-sanadnya lemah. Suatu riwayat berikut yang diceritakan oleh Nabi SAW daripada Tuhannya sudah cukup menjadi dalil kepadanya, firman-Nya di dalam hadis Qudsi

    مَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِمِثْل أدَاءِ ما افْترَضَتْ عَلَيهِ

    Maksudnya : “Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku serupa dengan kefardhuan yang aku perintahkan ke atasnya.”

    Riwayat al-Bukhari (6502)

     

    Jika orang yang menunaikan haji bukan daripada kalangan orang yang berjihad, maka hajinya afdal daripada jihadnya seperti wanita.

     

    Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari daripada Aisyah R.A, katanya,

     

    يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَى الْجِهَادَ أَفْضَلَ الْعَمَلِ أَفَلاَ نُجَاهِدُ مَعَكَ؟ قَالَ : لاَ وَلَكُنَّ أَفْضَلُ الْجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

    Maksudnya : “Wahai Rasulullah, Kami melihat bahawa jihad adalah amalan yang paling utama, maka bolehlah kami berjihad?” Baginda bersabda, “Sebaik-baik jihad adalah haji yang mabrur.” Dalam salah satu riwayatnya dinyatakan : Jihad kamu adalah haji. Dalam riwayatnya yang lain juga dinyatakan : sebaik-baik jihad adalah haji.

    Riwayat al-Bukhari (1520)

     

    Begitu juga apabila 10 hari terawal Zulhijjah mencakupi seluruh perbuatan dalam haji dan dilaksanakan dengan cara yang sempurna iaitu melakukan amalan wajib dan meninggalkan iaitu melakukan amalan wajib dengan meninggalkan yang haram; ditambah pula dengan berbuat baik kepada manusia dengan menyebarkan salam, memberi makan; serta disertai dengan banyak mengingati Allah SWT, meninggikan suara ketika talbiah dan menyembelih binatang korban; maka haji seperti ini boleh melebihi jihad. Jika amalan haji dilakukan dalam suatu tempoh dalam 10 hari tersebut dan tidak dilakukan dengan cara yang sempurna tadi, maka jihad afdal daripadanya. Ada suatu riwayat daripada Umar, Ibnu Umar, Abu Musa al-Asy’ari, dan Mujahid yang menunjukkan bahawa haji melebihi jihad dan haji mabrur yang dilaksanakan dengan cara yang sempurna serta segala perbuatannya dibuat dalam tempoh 10 hari itu lagi. Wallahuallam.

     

    Jika ada orang berkata,”Sabda Baginda SAW, tidak ada hari-hari yang amalan soleh lebih disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (10 hari terawal Zulhijjah)”. Adakah ia bermaksud semua amalan soleh yang dilakukan pada suatu tempoh dalam 10 hari ini melebihi seluruh amal soleh yang dikerjakan pada waktu lain walaupun lebih lama atau sekejap?”

     

    Jawapannya: Pandangan yang tepat- Wallahua’lam – ialah amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdal daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari dibulan lain. Oleh itu, setiap amal soleh yang dilakukan dalam 10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada mana-mana amalan yang dilakukan dalam 10 hari lain dalam mana-mana bulan sekalipun. Maka, hadis itu melebihkan amalan yang dikerjakan pada setiap harinya ke atas amalan yang dilakukan pada mana-mana hari lain dalam setahun.

     

    Sudah jelas sebelum ini ; amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah melebihi jihad apabila amalan yang dikerjakan merangkumi seluruh waktu di dalamnya. Maka, ia afdal berbanding jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut. Jika suatu amalan yang dilakukan pada beberapa hari dari 10 hari terawal Zulhijjah ia afdal daripada jihad dalam tempoh yang sama selain 10 hari tersebut.

    Dalilnya ialah Nabi SAW menjadikan puasa dan solat yang berterusan tanpa henti bersamaan dengan jihad yang dilakukan pada bila-bila masa. Apabila puasa dan solat tadi dibuat pada masa 10 hari terawal Zulhijjah, ia afdal daripada jihad dalam tempoh masa yang sama disebabkan keistimewaan dan kemulian 10 hari tersebut.

    Diriwayatkan dalam al-Sahihain, daripada Abu Hurairah, katanya,

    جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلِّمْنِي عَمَلًا يَعْدِلُ الْجِهَادَ قَالَ لَا أَجِدُهُ قَالَ هَلْ تَسْتَطِيعُ إِذَا خَرَجَ الْمُجَاهِدُ أَنْ تَدْخُلَ مَسْجِدًا فَتَقُومَ لَا تَفْتُرُ وَتَصُومَ لَا تُفْطِرُ قَالَ لَا أَسْتَطِيعُ

    Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata, ‘Tunjukkan kepadaku suatu amalan yang menyamai jihad.’ Dia berkata lagi, ‘ Aku tidak menjumpainya.’ Baginda bersabda, ‘ apabila seorang yang berjihad keluar, adakah kamu datang ke masjid kemudian solat tanpa henti dan puasa sepanjang masa?’ Dia menjawab, ‘Siapakah yang mampu lakukan sedemikian?’

    Riwayat al-Bukhari (2785) & Muslim (1878)

     

    Lafaz hadis ini adalah di sisi Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dengan makna beserta tambahan lafaz,

    مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْقَانِتِ بِآيَاتِ اللهِ لاَ يَفْتُرُ مِنْ صِيَامٍ، وَلاَ صَلاَةٍ حَتَّى يَرْجِعَ الْمُجَاهِدُ إِلَى أَهْلِهِ

    Maksudnya : “Baginda bersabda, ‘Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang yang berpuasa, solat, membaca ayat-ayat Allah, tanpa berasa penat menunaikan solat dan puasa, sehinggalah orang yang berjihad di jalan Allah itu pulang.”

    Riwayat Muslim (3490)

     

    Manakala, Lafaz di sisi Al-Bukhari pula ialah :

    مَثَلُ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَنْ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِهِ كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ

    Maksudnya : “Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah- Allah lebih mengetahui siapakah yang berjihad di jalan-Nya-adalah sama seperti orang yang berpuasa serta menunaikan solat.”

    Riwayat al-Bukhari (2787)

     

    Lafaz di sisi An-Nasaie ialah :

    كَمَثَلِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ الْخَاشِعِ الرَّاكِعِ السَّاجِدِ

    Maksudnya : ” Adalah sama seperti orang yang berpuasa, solat, khusyuk, rukuk dan sujud.”

    Riwayat al-Nasaie (4320) di dalam Sunan al-Kubra

     

    Antara dalil khusus kepada kelebihan suatu amalan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah ke atas jihad yang sama tempohnya ialah hadis yang diriwayatkan dalam Shahih Ibnu Hibban daripada Jabbir, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda,

    مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ، قَالَ: فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هُنَّ أَفْضَلُ أَمْ عِدَّتُهُنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَالَ: هُنَّ أَفْضَلُ مِنْ عِدَّتِهِنَّ جِهَادًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

    Maksudnya “Tidak ada hari-hari yang afdal di sisi Allah berbanding 10 hari dalam bulan Zulhijjah.” Seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, adakah hari-hari itu afdal atau jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut?” Baginda bersabda, “Ia afdal berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh tersebut.”

     

    Justeru, amalan yang dilakukan pada 10 hari ini dilebihkan ke atas jihad yang dilakukan pada 10 hari juga, bukannya secara mutlak.

    Adapun perbahasan lalu mengenai setiap harinya menyamai setahun, sebulan, atau 1000 hari, maka semuanya termasuk daripada hadis-hadis yang lemah tentang kelebihan beramal. Kebanyakannya menceritakan tentang kelebihan puasa dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah, sedangkan puasa juga mempunyai keistimewaan dalam gandaaan pahalanya. Puasa bagi Allah, dan Allah berhak memberi ganjarannya jika ada orang berkata, “ia tidak khusus kepada puasa bahkan meliputi semua amalan sebenarnya hadis itu menjadi dalil kepada setiap malam yang dilakukan pada 10 hari tersebut lebih utama daripada amalan yang sama yang dilakukan selain daripada tempoh itu dalam suatu tahun. Maka, maksudnya adalah orang yang berjihad pada 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama berbanding orang yang berjihad ada waktu selainnya dalam suatu tahun.”

    Apabila dikatakan lagi,”oleh itu, berdasarkan konsep amalan yang dilakukan dalam tempoh 10 hari terawal Zulhijjah lebih utama daripada tempoh 10 selainnya, puasa pada 10 hari tersbut afdal daripada puasa pada 10 dalam bulan Ramadhan, dan qiamulailnya afdal daripada qiamullail dalam bulan ramadhan.” Maka, dijawab, ” berkenaan puasa di bulan Ramadhan , ia sememangnya afdal daripda pada 10 hari terawal Zuhijjah kerana sudah pasti puasa fardu afdal daripada puasa sunat. Ketika itu, amalan fardu yang dilaksanakan pada 10 hari tersebut afdal daripada amalan fardu yang dilaksanakan pada 10 hari selainnya.

    Sesungguhnya solat fardu dalam 10 hari ini digandakan pahalanya berbanding solat fardu pada 10 hari pada bulan Ramadhan. Manakala amalan sunat yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini juga afdal daripada amalan sunat yang dilakukan pada 10 hari selainnya. Umar dan Ali ra pernah berselisih pandangan tentang isu menggantikan puasa Ramadhan pada 10 hari terawal Zulhijjah. Umar menggalakannya kerana keistimewaannya hari-harinya, maka jadilah puasa ganti di dalam bulan Ramadhan itu afdal berbanding jika dilakukan dalam tempoh 10 hari yang lain.

    Hal ini menunjukkan bahawa amalan fardu dilipat ganda pahalanya ke atas amalan sunat dalam tempoh 10 hari tersebut. Sedangkan Ali melarang perkara yang sedemikian dan terdapat dua riwayat daripada Ahmad dalam hal ini . Alasan kepada pandangan Ali ialah puasa qada pada hari tersebut menyebabkan hilangnya kelebihan waktu berpuasa sunat padanya. Begitu juga alasan yang digunakan oleh Imam Ahmad dan ulama’ selainnya.

    Sebelum ini telah dinyatakan bahawa cara sebegitu tetap menghasilkan kelebihan puasa sunat. Ini adalah pandangan orang yang mengatakan, “jika seseorang bernazar puasa sebulan, lalu berpuasa pada bulan Ramadhan dia telah melaksanakan nazarnya dan fardhunya tetap terlaksana.” Namun, terdapat juga alasan lain bagi pandangan ini.

    Adapun qiamullail pada 10 hari terawal Zuhijjah dan keutamaanya keatas qiamullail pada 10 malam dibulan ramadhan, perbahasan tentangnya akan menyusul insyaAllah.

     

    FASAL KEDUA: KELEBIHAN 10 HARI AWAL ZULHIJJAH BERBANDING 10 HARI DALAM BULAN LAIN

    Hadis marfu’ riwayat Ibn Umar sebelum ini menyatakan:

    ما من أيامٍ أعظم عند اللهِ ولا أحبّ إليه العملُ فيهن من أيامِ العشرِ

    Maksudnya“Tidak ada hari-hari yang besar ganjarannya di sisi Allah dan yang paling Dia sukai agar seseorang mengerjakan amal kebaikan padanya, melainkan 10 hari ini.”

    Riwayat Imam Ahmad (5446) di dalam Musnad, al-Baihaqi (3751) di dalam Syu’ab al-Iman.

     

    Diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, daripada Jabir, Baginda SAW bersabda:

    ما مِن أيَّامٍ أفضلُ عندَ اللهِ مِن أيَّامِ عشْرِ من ذي الحجَّةِ

    Maksudnya“Tidak ada hari-hari yang lebih utama di sisi Allah daripada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah.”

    Riwayat Ibnu Hibban (3853)

     

    Hadis ini telah pun dinyatakan pada perbahasan lalu. Kami turut meriwayatkan melalui jalan periwayatan lain dengan tambahan lafaz:

    ولا ليالي أفضل من ليالهن. قيل: يا رسولَ اللهِ هنَّ أفضلُ مِن عِدَّتِهنَّ جهادًا في سبيلِ اللهِ ؟ قال: هنَّ أفضلُ مِن عِدَّتِهنَّ جهادًا في سبيلِ اللهِ إلا من عفر وجهه تعفيرا. وما مِن يومٍ أفضلُ مِن يومِ عرفةَ

    Maksudnya“Dan tidak ada malam-malam yang lebih utama daripada 10 malam ini. Ada orang bertanya, “wahai Rasulullah, adakah hari-hari ini lebih utama (melaksanakan ibadah) berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama?” Baginda menjawab, “Ia lebih utama berbanding jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama, kecuali orang yang dilumuri wajahnya dengan tanah. Tidak ada hari yang terbaik berbanding hari Arafah.”

    Riwayat Ibnu Hibban (3853)

     

    Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Musa al-Madini melalui jalan Abu Nu’aim al-Hafiz dengan sanad yang turut diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Al-Bazzar dan ulama selainnya meriwayatkan hadith daripada Jabir juga, baginda bersabda:

    أفضلُ أيامِ الدنيا أيامُ العشرِ قالوا يا رسولَ اللهِ ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِ قال ولا مِثلُهُنَّ في سبيلِ اللهِ إلا مَن عفَّر وجهَه في الترابِ

    Maksudnya“Sebaik-baik hari di dunia ialah 10 hari (bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya? Baginda menjawab, “jihad di jalan Allah dalam tempoh yang sama pun tidak dapat menyamainya melainkan sesiapa yang wajahnya dilumuri dengan tanah (mati syahid).”

    Riwayat Ibnu Hibban (3853) dan al-Bazzar (1128)

     

    Hadith ini diriwayatkan secara mursal dan ada ulama mengatakan riwayat mursal lebih sahih. Sebelum ini dinyatakan satu riwayat daripada Ibn Umar yang berkata: “Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT berbanding hari Jumaat, tidak termasuk 10 hari awal Zulhijjah.” Ucapan ini menunjukkan bahawa 10 hari tersebut lebih utama daripada sebaik-baik hari iaitu Jumaat.

    Suhail bin Abu Soleh meriwayatkan daripada bapanya, daripada Ka’ab, beliau berkata, “Allah telah memilih masa, dan sebaik-baiknya di sisi Allah ialah bulan haram. Bulan haram yang paling disukai Allah ialah Zulhijjah, dan hari dalam bulan Zulhijjah yang paling disukai Allah ialah 10 hari terawalnya.” Seorang perawi meriwayatkannya daripada Suhail, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah secara marfu’, namun tidak sahih. Masruq berkata mengenai firman Allah Taala  “Ia adalah sebaik-baik hari dalam satu tahun. Hal ini diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dan perawi selainnya. Selain itu juga, 10 hari itu merangkumi Hari Arafah. Dan ada riwayat yang menyatakan sebagai sebaik-baik hari di dunia seperti yang terkandung dalam hadis riwayat Jabir yang telah kami sebutkan. 10 hari tersebut mengandungi Hari Raya Korban, dan hadis riwayat Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

    عَظْمُ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ ، ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ

    Maksudnya“Hari-hari yang paling agung disisi Allah ialah Hari Raya Korban, kemudian Hari al-Qarr (11 Zulhijjah).”

    Riwayat Imam Ahmad (19285), Abu Daud (1765),Ibnu Khuzaimah (2866) di dalam Sahihnya

     

    Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan selain mereka. Semua hadis tadi menunjukkan bahawa ada 10 hari terawal Zulhijjah afdal daripada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Ini adalah penjelasan berkenaan waktu siangnya.

    Manakala waktu malam 10 terawal Zulhijjah, ada kalangan ulama muta’akhkhirin mendakwa bahawa 10 malam terakhir bulan Ramadhan afdal daripada 10 malamnya kerana mengandungi malam al-Qadr. Namun, pandangan ini sangat jauh daripada kebenaran.

    Kalaulah hadis riwayat Abu Hurairah yang menyatakan, “Menghidupkan setiap malamnya (10 hari terawal Zulhijjah) sama seperti menghidupkan malam al-Qadr” adalah sahih, pastilah 10 malamnya yang lebih utama berbanding 10 malam terakhir bulan Ramadan disebutkan dengan jelas. Sesungguhnya 10 malam terakhir bulan Ramadhan diberi kelebihan disebabkan satu malam yang ada padanya. Sedangkan semua malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah ini mempunyai kelebihan yang sama pada amalan qiamullail berdasarkan hadis tadi. Tetapi, hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Abu Musa jelas menyatakan keutamaan malam-malam pada sepuluh hari terawal Zulhijjah sama seperti siangnya. Jika perkataan “hari” disebut, ia merangkumi waktu malam yang mengirinya. Begitu juga malam, waktu siang yang mengirinya turut dikira.

    Sesungguhnya Allah SWT bersumpah dengan 10 malam terawal Zulhijjah dengan berfirman :

    وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾

    Maksudnya : “Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta hari terawal Zalhijjah).”

    (Surah al-Fajr : 1-2)

     

    Sumpahan ini menunjukkan kepada kelebihan malam-malamnya, tetapi tidak sabit hadis berkenaan semua malam atau salah satunya menyamai malam al-Qadr.

    Beberapa kumpulan ulama mazhab kami (Mazhab Hanbali) mendakwa bahawa malam jumaat afdal daripada malam al-Qadr, namun pengambilannya daripada Imam Ahmad adalah tidak benar. Oleh itu, berpandukan kepada pandangan mereka, melebihkan 10 malam ini ke atas malam al-Qadr boleh diterima.

    Pandangan sebenar ialah pandangan sebahagian ulama’ muta’akhkhirin yang mengatakan : “Keseluruhan 10 malam terawal Zulhijjah afdal daripada keseluruhan 10 malam di bulan Ramadhan walaupun dalam 10 malam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang tiada tolok bandingnya”. Wallahua’lam.

    Kenyataan Ka’ab yang lalu menunjukkan bahawa bulan Zulhijjah adalah bulan yang paling utama daripada empat bulan haram, begitu juga yang dinyatakan oleh Sa’id Ibn Jubair, perawi hadis berikut daripada Ibn Abbas yang berkata, “Tidak ada bulan yang paling tinggi kehormatannya selain Zulhijjah.”

     

    Diriwayatkan dalam Musnad al-Bazzar, daripada Abu Sa’id al-Khudri, daripada Nabi SAW, baginda bersabda :

    سيِّدُ الشُّهورِ رمضانُ وأعظمُها حرمةً ذو الحجَّةِ

    Maksudnya : “Penghulu bagi semua bulan ialah Ramadhan dan bulan yang paling tinggi kehormatannya ialah Zulhijjah.”

    Riwayat al-Bazzar (960).Di dalam sanad hadis ini terdapat Abdul Malik al-Naufali. Kata al-Bazzar: dia ada melakukan kesalahan di dalam riwayat.

    Dalam sanadnya terdapat kelemahan.

     

    Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Abu Sa’id al-Khudri juga :

    أن النبي صلى علىيه و سلم قال في حجة الوداع في خطبته يوم النحر : ألا إِنَّ أحرمَ الأَيَّامِ يومُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ الشُّهورِ شَهْرُكُمْ هذا ألا وإِنَّ أحرمَ البَلَدِ بَلَدُكُمْ هذا

    Maksudnya “Bahawa Nabi SAW bersabda ketika haji wada’ dalam khutbahnya pada hari raya korban, “Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia hari ialah hari kamu ini (arafah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia bulan ialah bulan kamu ini ( Zulhijjah). Ingatlah, sesungguhnya semulia-mulia tempat ialah tempat kamu ini (Makkah).”

    Riwayat Ibnu Majah (3931)

    Hadis ini turut diriwayatkan daripada Jabir, Wabisah Bin Ma’bad, Nubait Bin Syarit, dan para sahabat selain mereka, daripada Nabi SAW. Kesemuanya memberi petunjuk bahawa bulan Zulhijjah adalah sebaik-baik bulan haram iaitu bulan yang paling tinggi kehormatannya. Ada suatu riwayat daripada al-Hasan menyatakan bahawa sebaik-baik bulan haram ialah al-Muharram, dan kami akan menyebutkan tentangnya dalam perbahasan bulan al-Muharram, insyaallah.

    Pandangan yang mengatakan, “Sebaik-baik bulan haram ialah Rejab,” adalah tertolak.

     

    Terdapat kelebihan lain bagi 10 hari bulan Zulhijjah selain yang telah disebutkan. Antara kelebihannya ialah:

    1. Allah Taala bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Firman Allah Taala,

    وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾

    Ertinya: ”Demi waktu fajar, dan 10 malam (serta) hari dalam bulan Zulhijjah.”

    (Surah al-Fajr : 1-2)

    Berkenaan maksud fajar, ada ulama mengatakan ia adalah seluruh waktu fajar, waktu terbit fajar, solat subuh, atau seluruh waktu siang; yang semua ini adalah khilaf dalam kalangan mufassirin. Selain itu, ada juga pandangan yang memilih maksudnya ialah: waktu fajar tertentu, fajar yang terbit pada hari pertama dari 10 hari terawal Zulhijjah, atau fajar pada hari terakhirnya, iaitu hari raya korban. Berdasarkan semua pandangan ini, tempoh 10 hari tersebut merangkumi waktu fajar yang telah disumpah oleh Allah.

    Sementara itu, maksud 10 malam ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pandangan yang sahih yang dipegang oleh jumhur mufassirin dari kalangan salaf dan selainnya. Ia juga adalah pandangan yang sahih daripada Ibnu Abbas, serta diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. Manakala suatu riwayat daripadanya yang menyebutkan, ”Ia adalah 10 hari dalam bulan Ramadhan,” sanadnya lemah.

    Pandangan tadi disandarkan kepada sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam al-Tafsir, daripada Zaid bin al-Hubab, Khair bin Nu’aim menceritakan kepada kami, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda bersabda,

    إِنَّ الْعَشْرَ عَشْرُ الْأَضْحَى وَالْوَتْرَ يَوْمُ عَرَفَةَ وَالشَّفْعَ يَوْمُ النَّحْرِ

    Ertinya: “Maksud sepuluh ialah 10 hari dalam bulan korban (Zulhijjah), yang ganjil ialah hari Arafah, dan yang genap ialah hari raya korban.”

    Sanad Hadis I ni Hasan.

    Maksud kalimah ”genap” dan ”ganjil” tersebut juga ditafsirkan oleh Ibnu Abbas menerusi riwayat daripada Ikrimah dan lain-lain, dan Ikrimah, al-Dhahhak, serta ramai ulama lagi turut mentafsirkan maksud yang sama. Terdapat banyak pandangan yang disebutkan pada maksud kalimah ”genap” dan ”ganjil” kebanyakannya tidak terkeluar daripada menyatakan bahawa 10 hari terawal Zulhijjah atau sebahagiannya sudah merangkumi maksud ”genap” dan ”ganjil”, atau salah satunya. Contohnya:

    A: Baginda bersabda,

    Ertinya: ”Ia adalah solat, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.”

    Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tirmizi, daripada ‘Imran bin Hushain, daripada Nabi SAW.

    B: Pandangan yang menyebutkan, ”Ia adalah makhluk, sebahagiannya genap dan sebahagian yang lain ganjil.” Hari yang 10 ini termasuk dalam kategori makhluk.

    C: Pandangan yang menyebutkan, ”Genap itu seluruh makhluk, manakala ganjil pula ialah Allah.” Maka, 10 hari tersebut termasuk dalam kalangan makhluk.

     

    1. 10 hari ini adalah termasuk daripada tempoh 40 hari yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa alaihissalam. Firman Allah Taala,

    وَوَاعَدْنَا مُوسَىٰ ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ۚ وَقَالَ مُوسَىٰ لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ ﴿١٤٢﴾

    Ertinya”Kami telah menjanjikan tempoh kepada Musa (untuk diberikan kitab Taurat) selama 30 malam, dan Kami sempurnakan jumlahnya dengan 10 lagi, lalu cukuplah waktu yang ditentukan oleh Tuhannya selama 40 malam. Musa berkata kepada saudaranya, Harun (semasa hendak keluar dalam tempoh 40 hari ini), ‘Gantikanlah aku dalam urusan memimpin kaumku, perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah turuti jalan golongan yang melakukan kerosakan.”’

    Surah al-A’raf : 142

    Tetapi, adakah 10 hari dalam bulan Zulhijjah itu adalah penutup bagi 40 malam tersebut, dan jadilah ia sebagai tempoh yang menyempurnakan 30 malam sebelumnya; atau adakah ia 10 hari pertama daripada 40 malam, lalu ia termasuk daripada 30 malam yang disempurnakan dengan 10 malam lagi? Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat antara mufassirin.

    Abdurrazaq meriwayatkan daripada Ma’mar, daripada Yazid bin Abu Ziyad, daripada Mujahid, katanya,” Tidak ada amalan pada seluruh hari dalam setahun yang afdal daripada 10 hari terawal Zulhijjah. Ia adalah 10 hari yang disempurnakan oleh Allah kepada Nabi Musa Alaihissalam.

     

    1. Ia adalah penutup bagi bulan-bulan yang dimaklumi, iaitu bulan-bulan Haji yang disebutkan oleh Allah.

    الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ

    Maksudnya: ”Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi.”

    (Surah al-Baqarah : 197)

    Bulan-bulan tersebut ialah Syawal, Zulkaedah, dan 10 hari terawal Zulhijjah. Perkara ini diriwayatkan daripada Umar, anaknya Abdullah, Ali, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, dan lain-lain. Ia juga adalah pandangan kebanyakan tabiin, mazhab Syafi’i, Ahmad, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Abu Thaur, dan selain mereka. Tetapi, al-Syafi’i dan sekumpulan ulama mengecualikan hari raya korban, namun majoriti ulama memasukkannya ke dalam bulan-bulan haji kerana ia adalah hari Haji Akhbar dan banyak amalan dalam ibadah haji dilakukan pada hari itu.

     

    Terdapat juga sekumpulan ulama berkata,”Seluruh hari dalam Zulhijjah termasuk dalam bulan-bulan haji.”

    Ini adalah pandangan Malik dan al-Syafi’i menurut mazhab qadimnya. Hal ini turut diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan sekumpulan salaf. Sandarannya ialah sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, namun tidak sahih. Perbahasan mengenai isu ini begitu panjang, dan di sini bukanlah tempatnya.

     

    1. Ia adalah hari-hari yang dimaklumi yang disebutkan Allah sebagai tempoh pengurniaan rezeki berupa binatang ternakan.

    Firman Allah Taala,

    وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾

    Ertinya: ”Serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari pelbagai jalan yang jauh. Hal tersebut agar mereka menyaksikan berbagai-bagai manfaat buat mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang dimaklumi atas kurniaan-Nya kepada mereka berupa binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban).”

    (Surah al-Hajj:  27-28)

    Jumhur ulama berpendapat bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Antaranya ialah Ibnu Umar, Ibnu Abbas, al-Hasan, ‘Atha’, Mujahid, Ikrimah, Qatadah, al-Nakha’i, serta pandangan Abu Hanifah, al-Syafi;i, dan Ahmad pada satu riwayatnya yang masyhur.

    Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyari bahawa hari-hari yang dimaklumi itu ialah 9 Zulhijjah, tidak termasuk hari raya korban. Beliau berkata,”Doa pada hari tersebut tidak akan ditolak.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ja’far al-Firyabi dan lain-lain.

    Sekumpulan ulama berkata, ”Hari-hari itu ialah hari sembelihan binatang korban,” dan perkara ini diriwayatkan daripada sekumpulan salaf, yang merupakan pandangan Malik dan Abu Yusuf. Mereka menjadikan zikir kepada Allah pada hari-hari ini disebut ketika menyembelih binatang korban. Ibnu Umar R.anhuma turut berpandangan sedemikian. Al-Maruzzi menukilkan daripada Ahmad bahawa beliau mengatakan pandangan ini adalah lebih baik. Namun, pandangan pertama lebih kuat.

     

    Mengingati dan menyebut nama Allah di sisi binatang ternak tidak hanya dikhususkan ketika menyembelihnya, sepertimana firman Allah Taala,

    ذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾

     Ertinya: ”Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan   Allah atas nikmat petunjuk-Nya kepada kamu.”

    (Surah al-Hajj : 37)

     

    Firman Allah Taala lagi,

    وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

    Ertinya: ”Bagi setiap umat Kami syariatkan ibadah (sembelihan binatang korban) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai tanda bersyukur akan kurniaan rezeki binatang ternak kepada mereka.”

    (Surah al-Hajj:34)

     

    Setelah itu, Allah Taala berfirman pula,

    ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾ ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ﴿٢٩﴾

    Maksudnya : ”Maka, makanlah binatang korban itu (dagingnya) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir. Kemudian, mereka hendaklah membuang kotoran (pada tubuh badan) dan menyempurnakan nazar (korban) di Rumah yang Lama (Kaabah, kerana ia mula-mula sekali dibangunkan manusia).”

    (Surah al-Hajj: 28-29)

    Allah menjadikan amalan zikir ini dilaksanakan selepas mengingati-Nya pada hari-hari yang dimaklumi dan menghilangkan kekusutan, debu kotoran dan keletihan setelah menunaikan haji. Tawaf di Baitullah dilakukan pada hari raya korban dan selepasnya, bukan sebelum itu. Sesungguhnya Allah menjadikan amalan zikir tersebut menyusul selepas mengingatiNya pada hari-hari yang dimaklumi dengan meletakkan lafaz tsumma . Justeru, ia menunjukkan bahawa maksud hari-hari yang dimaklumi itu ialah tempoh sebelum hari raya korban, iaitu 10 hari terawal Zulhijjah.

     

    Mengenai firman Allah Taala,

    وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ

    (Surah al-Hajj : 28)

    Sebahagian ulama berkata, ”Maksudnya ialah menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang ternak, dan penyebutan ini berlaku pada hari raya korban kerana ia hari adalah hari terbaik untuk sembelihan korban.”

     

    Pandangan yang paling sahih ialah Allah mengkehendaki agar nama-Nya disebut sebagai tanda syukur di atas nikmat-Nya  apabila menundukkan binatang ternak untuk para hamba-Nya.

    Hal ini demikian kerana terdapat banyak nikmat  daripada Allah Taala ke atas para hamba-Nya pada binatang ternak, yang sebahagiannya disebutkan di beberapa tempat dalam al-Quran. Orang yang menunaikan haji mendapat keistimewaan tersebut berbanding orang lain kerana mereka menunggangnya menuju ke Tanah Haram bagi menunaikan ibadah Haji, seperti yang yang difirmankan oleh Allah Taala.

    عَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾

    Maksudnya:”Dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

    (Surah al-Hajj :  27)

     

    Firman Allah SWT lagi :

    وَتَحْمِلُ أَثْقَالَكُمْ إِلَىٰ بَلَدٍ لَّمْ تَكُونُوا بَالِغِيهِ إِلَّا بِشِقِّ الْأَنفُسِ

    Maksudnya : “Dan binatang-binatang itu pula membawa barang-barang kamu ke mana-mana negeri yang kamu tidak dapat sampai kepadanya melainkan dengan menanggung susah payah.”

    (Surah al-Nahl : 7)

     

    Mereka juga dapat makan dagingnya, meminum susunya dan memanfaatkan pelbagai jenis bulunya.

    Keistimewaan 10 hari bulan Zulhijjah dikhususkan bagi orang yang menunaikan haji apabila hari-hari tersebut adalah tempoh mereka membawa binatang korban yang melengkapkan kelebihan ibadah haji dan memakan dagingnya di hari terakhir daripada 10 hari itu, iaitu hari raya korban. Sebaik-baik cara membawa binatang korban adalah bermula dari miqat, lalu ditandakan sebagai korban ketika ihram dengan disertai laungan talbiah yang termasuk daripada mengingati Allah pada hari-hari yang dimaklumi.

     

    Dinyatakan dalam sebuah hadis :

    أفضلُ الحجِّ العجُّ والثَّجُّ

    Maksudnya “Sebaik-baik haji ialah menguatkan suara ketika bertalbiah dan menyembelih binatang korban.”

    Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975)

     

    Dinyatakan dalam hadis yang lain,

    عجوا التكبير عجا، و ثجوا الإبل ثجا

    Maksudnya : “Angkatlah setinggi-tinggi suara ketika bertakbir, dan tumpahkanlah darah binatang korban sebanyak-banyaknya.”

    Riwayat al-Tirmizi (827) & Ibnu Majah (975)

     

    Oleh itu, mengingati Allah sebanyak-banyaknya pada 10 hari awal Zulhijjah adalah tanda syukur di atas segala nikmat yang berkaitan dengan binatang ternak, yang sebahagiannya bersangkut paut dengan ibadah orang yang menunaikan haji, dan sebahagian yang lain dengan urusan dunia mereka. Amalan yang terbaik ialah amalan yang disertai dengan banyak mengingati Allah SWT , anataranya ialah ibadah haji secara khusus. Sesungguhnya Allah SWT menyuruh agar banyak mengingatinya pada hari-hari mengerjakan ibadah haji. Allah SWT berfirman:

    فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ ﴿١٩٨﴾ ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٩٩﴾

    Maksudnya : “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

    (Surah al-Baqarah : 198-199)

     

    Banyak mengingati Allah ini dilakukan pada 10 Zulhijjah. Kemudian Allah berfirman lagi:

    فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

    Maksudnya : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat”.

    (Surah al-Baqarah : 200)

     

    Begitu juga amalan ini dilakukan pada hari raya korban, iaitu hari penutup kepada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian Allah memerintahkan untuk mengingatinya dalam hari-hari tertentu selepas 10 hari itu, iaitu hari-hari tasyrik.

    Diriwayatkan dalam kitab al-Sunan daripada Nabi  SAW, baginda bersabda :

    إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

    Maksudnya “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie diantara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

    Riwayat al-Tirmizi  (902) & Abu Daud (1888)

     

    Diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, daripada Muaz Bin Anas :

    أَنَّ رَجُلًا سَأَلَهُ فَقَالَ أَيُّ الْجِهَادِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا قَالَ فَأَيُّ الصَّائِمِينَ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا ثُمَّ ذَكَرَ لَنَا الصَّلَاةَ وَالزَّكَاةَ وَالْحَجَّ وَالصَّدَقَةَ كُلُّ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَكْثَرُهُمْ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ذِكْرًا فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ لِعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ يَا أَبَا حَفْصٍ ذَهَبَ الذَّاكِرُونَ بِكُلِّ خَيْرٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجَلْ

    Maksudnya :” Seorang lelaki berkata,’Wahai Rasul” Seorang lelaki berkata,’Wahai Rasul” Seorang lelaki berkata,’Wahai Rasul” Seorang lelaki berkata,’Wahai Rasulullah, manakah jihad yang paling besar pahalanya?’ Baginda bersabda,’Orang yang paling banyak mengingati Allah ketika berjihad.’Dia bertanya lagi,’Siapakah orang yang berpuasa yang paling besar puasanya?’orang itu bertanya solat, zakat, haji, dan sedekah; kesemua dijawab oleh Rasulullah SAW,’ Orang yang paling banyak mengingati Allah dalam kalangan mereka.’ Lalu,Abu Bakar berkata,’Wahai Abu Hafs ( Umar bin al-Khattab ),golongan mengingati Allah akan berlalu pergi dengan seluruh kebaikan.’ Lantas,Rasulullah SAW bersabda,’Betul.”

    Riwayat Imam Ahmad (3/438)

     

    Hadis ini telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dan Ibnu Abu al-Dunya melalui jalan-jalan periwayatan yang lain secara mursal. Dalam satu riwayatnya berbunyi,

    فأي الحجاج خير؟ قال : أكثرهم ذكرا لله

    Maksudnya: ” Siapakah orang yang mengerjakan haji yang paling besar pahalanya?” Baginda bersabda, ”Orang yang paling banyak mengingati Allah dalam kalangan mereka.”

    Riwayat al-Baihaqi (558) di dalam Syu’ab al-Iman

     

    Kemudian, Baginda menyebutkan amalan-amalan lain, seperti maksud hadis sebelum ini. Kesemua keadaan ini adalah merujuk kepada orang yang mengerjakan haji.

    Bagi masyarakat di negara lain, mereka menyertai orang yang mengerjakan haji pada 10 Zulhijjah dengan berzikir dan mempersiapkan binatang korban tarikh 10 Zulhijjah ialah hari untuk mengerjakan sembelihan sebagaimana orang yang menunaikan haji menunggang binatang korban. Meraka juga menyertai jemaah haji dalamsebahagian ibadah ihram. Sesiapa yang memasuki 10 hari terawal Zulhijjah dan hendak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya, seperti yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah daripada SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim. Amalan ini dipegang oleh al-Syafi’i, Ahmad, dan kebanyakan fuqaha hadis.

    Ada juga kalangan mereka yang mensyaratkan supaya binatang korbannya hendaklah dibeli sebelum 10 Zulhijjah, namun kebanyakannya tidak mensyarakatkan sedemikian. Akan tetapi, Malik, Abu Hanifah, dan ramai fuqaha berbeza pendapat dalam hal ini. Mereka berkata, ”Perbuatan itu tidak makruh untuk dilakukan.” Mereka berdalilkan hadis riwayat Aisyah, katanya.

    كُنْتُ أَفْتِلُ قَلَائِدَ هَدْيِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا ثُمَّ لَا يَحْرُمُ مِنْهُ شَيْءٌ

    Maksudnya : ” Aku pernah mengikat tali pada tali leher binatang kerban kepuyaan Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah mengharamkan sesuatu amalan yang telah dihalalkan oleh Allah kepada Baginda.”

    Riwayat Muslim (1321) & Imam Ahmad (6/35)

     

    Ramai ulama yang berpegang dengan pandangan pertama menjawab: “Kedua-dua hadis tersebut perlu digabung. Maka,hadis Ummu Salamah diamalkan oleh orang yang ingin melakukan korban di negaranya sendiri. Manakala hadis Aisyah diamalkan oleh orang yang mengirimkan binatang korbannya bersama orang lain, Sedangkan dia berada dalam negaranya.

    Apabila Ibnu Umar melakukan sembelihan pada hari raya korban, beliau mencukur kepalanya, dan hal ini disebutkan oleh Ahmad.

    Ulama berbeza pendapat tentang amalan orang yang tidak mengerjakan haji menyerupai amalan jemaah haji pada malam hari Arafah. Imam Ahmad tidak pernah melakukannya dan tidak mengingkari orang yang melakukannya kerana perbuatan ini pernah diriwayatkan daripada amalan Ibnu Abbas dan para sahabat yang lain. Berkenaan penglibatan orang tersebut dengan mereka dalam amalan zikir pada hari-hari yang dimaklumi, hal tersebut disyariatkan kepada semua manusia untuk banyak mengingati Allah, terutamanya dalam tempoh 10 hari terawal Zuhijjah. Sebelum ini, hadis marfu’ riwayat Ibnu Umar menyatakan :

    فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

    Maksudnya: ”Banyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid sepanjang tempoh tersebut.”

    Riwayat Imam Ahmad (6154) di dalam Musnad dan al-Baihaqi (3481) di dalam Syu’ab al-Iman

     

    Ulama berselisih pendapat pula tentang: Adakah disyariatkan untuk bertakbir dan melaungkannya dengan kuat di kawasan perniagaan pada 10 hari terawal Zulhijjah ? Sekumpulan mereka mengingkarinya, manakala Ahmad  dan al-Syafi’i berpendapat ia adalah sunat. Tetapi, al-Syafi’i mengkhususukannya ketika melihat binatang ternak dan Ahmad berpandangan ia adalah sunat secara mutlak.

    Al-Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya daripada Ibnu Umar dan Abu Hurairah bahawa mereka berdua keluar menuju ke pasar pada 10 hari terawal Zulhijjah. Kemudian mereka bertakbir, dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka[3]. ‘Affan meriwayatkan tentang kejadian ini,katanya,”Salam Abu al-Munzir menceritakan kepada kami, daripada Humaid al-A’raj, daripada Mujahid, beliau berkata, ‘Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan datang melainkan datang melainkan  untuk untuk untuk bertakbir.” Ja’far al-Firyabi meriwayatkan dalam Kitab al-Idain, beliau berkata, ”Ishak bin Rahawaih menceritakan kepada kami,’Jarir mengkhabarkan kepada kami, daripada Yazid bin Abu Ziyad, katanya,’Aku melihat Sa’id bin Jabair, Mujahid, dan Abdul Rahman bin Abu Laila atau dua orang daripada mereka, serta beberapa orang fuqaha, yang mengucapkan pada 10 hari tersebut:

    ‘Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah , dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, dan bagi Allah segala pujian.”

    Tatkala Allah SWT mencampakkan perasaan rindu untuk melihat Baitullah al-Haram ke dalam jiwa mukminin namun tidak semua orang mampu melihatnya pada setiap tahun, maka Allah memfardhukan haji sekali seumur hidup keatas orang yang mampu mengerjakannya. Allah juga menjadikan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai tempoh yang dapat dikongsi bagi orang yang mengerjakan haji dan merrka yang tidak mengerjakannya. Sesiapa yang tidak mampu mengerjakan haji dalam haji dalam suatu tahun, dia boleh melakukan amal soleh di tempat tinggalnya sepanjang 10 hari tersebut. Keadaaan ini lebih utama daripada jihad yang pada asalnya merupakan amalan yang lebih utama daripada haji.

    Kata Penyair :

    Malam – malam sepuluh adalah waktu-waktu mustajab,

         Maka segeralah beramal dengan penuh keinginan, nescaya kamu akan mendapat ganjaranya.

    Ingatlah tiada masa lagi untuk mereka beramal, di dalamnya

         terdapat ganjaran kebaikan yang lebih hampir untuk dicapai

    pada 10 malam dalam bulan Zuhijjah secara pasti.

         Maka, bersungguh sungguhlah dan kembalilah kepada Allah.

     

    Berhati-hatilah dengan maksiat kerana ia dapat menghalang keampunan pada musim-musim yang sarat dengan rahmat. Al-Marruzi meriwayatkan dalam Kitab al-Wara’ dengan sanadnya daripada Abdul Malik bin Umair, daripada seorang lelaki, sama ada daripada kalangan sahabat atau tabiin bahawa seseorang telah datang dalam mimpinya pada suatu malam dalam 10 hari terawal Zulhijjah, lalu berkata, ”Tidak ada seorang Muslim melainkan akan diampuni dosa-dosanya dalam hari-hari ini, setiap hari sebanyak lima kali melainkan para pemain asy-syah ( الشاه) yang berkata,’ Raja telah mati.’ Apa kaitan kematiannya?! Beliau memaksudkan para pemain catur.

    Sekiranya bermain catur itu sudah menghalang daripada mendapat keampunan, maka apatah lagi dengan dosa besar yang disepakati oleh ulama yanag dilakukan secara berterusan.

    Ketaatan kepada Allah adalah sebaik-baik kelaziman bagi seorang hamba,

    Kata penyair :

    Maka jadilah hamba yang taat dan janganlah menderhakai-Nya.

    Jiwa tidak akan binasa melainkan dengan maksiat,

        Jauhilah segala perbuatan yang dilarang-Nya dan janganlah mendekatinya.

    Sesungguhnya suatu perkara yang membawa kepada kebinasaan dirimu,

         hendaklah engkau memelihara dirimu daripadanya.

    Maksiat adalah sebab kepada penjauhan dan tidak diendahkan, manakala ketaatan adalah sebab kepada mendekatkan diri kepada Allah dan kasih sayang-Nya.

     

    Adakah terdapat mana-mana pemuda yang dapat menjamin diriny untuk meninggalkan maksiat,

         maka, aku gadaikan kepadanya jaminan keselamatan.

    Suatu kaum mentaati Allah, lalu mereka hidup dalam keadaan tenang,

         dan mereka tidak akan menelah kepahitan maksiat.

     

    Dalam tempoh ini, sesungguhnya saudara kamu sudah pun mengenakan kain ihram pada tubuh mereka dan pergi ke Baitullah al-Haram, serta memenuhi setiap ruang angkasa dengan laungan talbiah, takbir, tahlil, tahmid dan mengangunkan Penciptanya. Mereka berjalan pergi, namun kita masih duduk. Mereka semakin hampir, namun kita tetap jauh. Sekiranya kita memiliki bahgian bersama mereka, pasti kita akan bahagia.

    Adakah kamu menyendiri ketika melalui kawasan bukit pasir dan jalan berliku di gunung,

         untuk menyebut tentang kami, wahaikafilah yang merentasi Sal’a (nama sebuah bukit di Madinah)?

    Kami terputus hubungan, sedangkan kalian dapat sampai.Justeru, mengertilah,

        dan bersyukurlah kepada Tuhan Pemberi nikmat,wahai penduduk Mina.

    Sesungguhnya kami telah rugi sebaliknya kalian beruntung.Oleh itu, sampaikanlah,

         lebihan keuntungan kepada orang yang kehilangan modal.

    Hatiku turut mengekori di belakang muatan barangan kalian,

         namun hanya keuzuran menghalang badanku.

    Setiap lembah yang kalian lalui,sesungguhnya.

         aku datang berjalan ke sana dengan langkah pengharapan.

    Semenjak kalian pergi, aku tidak putus mengingati kalian.

         Adakah keadaan kami diperlihatkan kepada kalian?

     

    Orang yang tidak mengerjakan haji kerana suatu keuzuran tetap mendapat sama seperti orang yang mengerjakannya. Boleh jadi orang yang berangkat pergi dengan hatinya mendahului orang pergi berhaji. Salah seoerang pergi ke sana melihat dalam mimpi seseorang yang berkata kepadanya di malam Arafah,”Adakah engkau dapat melihat suasana yang sesak di kawasan ini? Sesungguhnya tiada seorang pun daripada mereka yang mengerjakan haji kecuali seorang lelaki yang tidak berada di sini. Dia mengerjakan haji dengan sepenuh keazamannya, lalu ganjaran orang yang berada di kawasa ini dikurniakan kepadanya.”

    Wahai orang-orang yang berjalan menuju ke Baitul Atiq,sesungguhnya

         kamu berjalan dengan tubuh badan,sedangkan kami pula berjalan dengan roh.

    Kami beramal dalam keadaan uzur sedangkan mereka telah berangkat pergi.

         Sesiapa yang beramal dalam keadaan uzur, samalah seperti orang yang pergi ke sana.

     

    Capailah keuntungan dengan merebut peluang pada hari-hari yang agung ini, ia tidak boleh diganti dan tidak ternilai. Segeralah beramal, lakukanlah dengan cepat sebelum kedatangan ajal, sebelum orang yang lalai bersa menyesal atas perbuatan yang dilakukannya, Sebelum dia meminta agar dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh namun tidak diperkenankan, sebelum maut memisahkan antara orang yang berharap dan impian yang hendak dicapai sebelum seseorang yang tertahan dengan amalan yang dia lakukan di dalam lubang kuburnya.

    Tidak ada bagi mayat di dalam kuburnya

        makanan berbuka, binatang korban, dan 10 hari dalam bulan Zuhijjah.

    Dia berada jauh daripada ahli keluarga yang berada dekat dengannya.

        Begitulah keadaan bagi sesiapa yang berumahkan kuburan.

     

    Wahai orang yang mula ditumbuhi uban selepas mencapai usia 40 tahun! Wahai orang yang sudah melalui 10 hari terawal Zulhijjah setelah usia itu selama 10 tahun sehingga mencecah usia 50 tahun! Wahai orang yang berada di medan pertarungan antara usia 60 tahun ke 70 tahun! Tidak ada suatu perkara yang engkau nantikan selepas mengetahui khabar ini melainkan  mati yang akan datang kepadamu. Wahai orang mempunyai dosa yang sebanyak bilangan ganjil dan genap! Adakah engkau tidak malu dengan malu dengan para malaikat yang mulia, para pencatat amalanmu? Ataupun engkau termasuk daripada kalangan orang yang mendustakan hari kiamat? Wahai orang gelap hatinya bagaikan malam yang tiba! Bukanlah telah sampai masanya untuk hatimu bersinar atau menjadi lembut? Terimalah pelbagai hadiah daripada Penjagamu dalam tempoh masa 10 hari ini kerana sesungguhnya hadiah-hadiah tersebut adalah milik Allah dalam tempoh itu, yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesiapa yang memperolehnya, dia pasti akan bahagia di akhir hayat.

    Matahari hidupku Matahari hidupku telah menyingsing,

        dan condong mengarah ke barat.

    Kegelapan malam di kepalaku telah berlalu pergi,

        dan kelihatanlah cahaya uban.

    Wahai Tuhanku,selamatkanlah diriku kerana sesungguhnya,

        aku pernah bergelumang di lautan dosa.

    Kurniakanlah kepadakua kemaafan wahai Tuhan,

         yang sangat dekat daripada kalangan sesiapa sahaja yang dekat.

     

    Penutup

    Itulah petikan yang kami nukilkan daripada kitab lataif al-Ma’arif Fi Ma Li Mawasim al-Am Min al-Wazaif yang ditulis dan dikarang oleh Ibnu Rajab al-Hanbali. Oleh itu,marilah kita beramal dan perbanyakkan amal kebajikan.Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa melakukan amal soleh untuk bekalan di akhirat kelak.

     

     

    [1] Riwayat Abu Daud (1449)

    [2] Riwayat Abdurrazaq (8126) di dalam Musannaf

    [3] Imam al-Bukhari menyebutnya secara ta’liq

  • APA ITU MULTAZAM? DAN BAGAIMANA CARA BERDOA DISISINYA?

    APA ITU MULTAZAM? DAN BAGAIMANA CARA BERDOA DISISINYA?

     

    Multazam adalah bagian dari Ka’bah yang mulia diantara hajar aswad dan pintu ka’bah. Makna iltizamuhu (merapatkannya) yaitu orang yang berdoa menaruh dada, wajah, lengan dan kedua tangannya di atasnya dan berdoa kepada Allah apa yang mudah baginya dari apa yang dia inginkan. Dan disana tidak ada doa khusus yang seorang muslim berdoa di tempat itu. Dan diperbolehkan merapatkannya ketika memasuki ka’bah (kalau mudah untuk masuk ke dalamnya), diperbolehkan melaksanakannya sebelum thawaf wada’, dan pada waktu bila-bila sahaja. Dan seyogyanya orang yang berdoa jangan sampai mengganggu orang lain dengan memperpanjang doanya. Sebagaimana tidak diperkenankan berdesak-desakan dan menyakiti orang-orang hanya karena itu. Dikala melihat ada kesempatan dan kelonggaran, berdoa (di tempat itu). Kalau tidak ada, cukuplah berdoa ketika thawaf dan (dalam) sujud solat.

    Yang ada dari para sahabat –semoga Allah meredhoi mereka- dalam iltizam yang paling shoheh dari Nabi sallallahu’alaihi wa sallam (adalah) dari Abdurrahman bin Sofwan berkata: “Ketika Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam menaklukkan Mekkah, saya mengatakan: “Saya akan memakai pakaianku, dahulu rumahku di jalan. Saya akan melihat apa yang dilakukan Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam. Maka saya berangkat dan melihat Nabi sallallahu’alaihi wa sallam keluar dari Ka’bah. Beliau dan para shahabat keluar dari ka’bah dan mereka menyentuh bait (Ka’bah) dari pintu sampai di Hittim. Mereka menaruh pipinya di bait (ka’bah) sedangkan Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam di tengah-tengah mereka.” HR.Abu Dawud, 1898 dan Ahmad, 15124. (dalam sanadnya) terdapat Yazid bin Abi Ziyad. Ibnu Ma’in, Abu Hatim, Abu Zur’ah dan ulama’ lainnya telah melemahkannya.

    Dan dari Amr bin Syu’aib dari ayahnya berkata: “Saya (menunaikan) thawaf bersama Abdullah, ketika sampai di belakang ka’bah, saya berkata: “Apakah kita tidak berlindung?” (Beliau) berkata: “Kita berlindung dengan (Nama) Allah dari neraka.” Ketika telah lewat, saya menyentuh hajar (aswad), dan berdiri di antara rukun (hajar aswad) dan pintu (ka’bah). Maka (beliau) menaruh dada, wajah, lengan dan kedua tangannya begini dan membentangkan lebar keduanya. Kemudian berkata: “Beginilah saya melihat Rasulullah sallallahu’alahi wa sallam melakukannya. HR. Abu Dawud, 1899. Ibnu Majah, 2962. Dan (di dalam sanadnya) ada Mutsanna bin As-Sobah. (beliau) dilemahkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Main, Tirmizi dan Nasa’i serta (ulama’ lainnya). Kedua hadits ini saling menguatkan satu dengan lainnya. Dan Syekh Al-Bany telah menshohehkannya di kitab ‘As-Silsilah As-Sohehah, 2138.’

    Disebutkan dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma bahwa beliau berkata: “Al-Multazam adalah antara Rukun (hajar aswad) dan Pintu (ka’bah).

    Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Kalau dia ingin mendatangi multazam –yaitu antara hajar aswad dan pintu ka’bah- dan dia menaruh dada, wajah, lengan dan kedua tangannya dan berdoa kepada Allah Ta’ala keperluannya, dia (diperbolehkan) melakukan itu. Hal itu boleh dilakukan sebelum thawaf wada’, karena (posisi) penempelan ini tidak ada bedanya waktu wada’ (perpisahan) maupun yang lainnya. Dan para sahabat juga melakukan hal itu ketika memasuki Mekkah. Kalau dia ingin membaca doa yang ada tuntunannya dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma:

     

    اللهمَّ إني عبدك وابن عبدك وابن أمتك حملتني على ما سخرتَ لي مِن خلقك وسيرتَني في بلادك حتى بلغتَني بنعمتِك إلى بيتِك وأعنتَني على أداء نسكي فإنْ كنتَ رضيتَ عني فازدَدْ عني رضا وإلا فمِن الآن فارضَ عني قبل أنْ تنآى عن بيتك داري فهذا أوان انصرافي إنْ أذنتَ لي غير مستبدلٍ بك ولا ببيتِك ولا راغبٍ عنك ولا عن بيتِك اللهمَّ فأصحبني العافيةَ في بدني والصحةَ في جسمي والعصمة في ديني وأحسن منقلبي وارزقني طاعتك ما أبقيتَني واجمع لي بين خيري الدنيا والآخرة إنك على كل شيء قدير

    “Ya Allah, Tuhan kami, sesungguhnya saya adalah hambaMu dan anak dari hambaMu, anak budak-Mu. Engkau bawa kami dengan apa yang telah Engkau jalankan kepadaku dari makhlukMu. Dan Engkau jalankan diriku dari negeriMu sehingga Engkau sampaikan dengan nikmatMu ke rumahMu. Dan Engkau bantu kami agar dapat menunaikan manasikku. Kalau sekiranya Engkau rido kepada diriku, maka tambahkanlah kepada diriku keridoanMu. Kalau sekiranya (belum), maka dari sekarang (berikanlah) keredoan kepada diriku sebelum meninggalkan rumahMu (menuju) rumahku. Ini adalah waktu kepergianku, jikalau Engkau mengizinkan kepadaku tanpa (ada rasa) menggantikan dari diriMu, juga rumahMu, dan (tidak ada perasaan) benci kepadaMu dan pada rumahMu. Ya Allah, Tuhanku. Sertakanlah kepada diriku kesehatan pada badanku, dan kesehatan di tubuhku serta jagalah agamaku, dan perbaikilah tempat kembaliku, berikanlah rezeki (dengan) ketaatan kepadaMu selagi saya (masih) hidup. Dan gabungkanlah untuk diriku kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Engkau terhadap sesuatu Maha Mampu.

     

    Kalau sekiranya berdiri di sisi pintu Ka’bah dan berdoa disana tanpa menempelkan di ka’bah, maka hal itu (juga) baik. Majmu’ Fatawa, 26/142, 143.

    Syekh Ibnu Utsaimin rahimahullah berkata: “Permasalahan ini para ulama’ berbeda pendapat, padahal hal ini tidak ada dari Nabi sallallahu’alaihi wa sallam (yakni tidak ada hadits shoheh, terkait dengan melemahkan hadits-hadits tentang hal ini) akan tetapi (ada) dari sebahagian para shahabat radhiallhau’anhum. Apakah menempelkan (iltizam) sunnah? Dan kapan waktunya? Apakah ketika pertama kali datang atau ketika meninggalkan (Mekkah) atau pada setiap waktu?.

    Sebab (adanya) perbedaan ini diantara para ulama’ adalah dikarenakan tidak ada sunnah dari Nabi sallallahu’alaihi wasallam.  Akan tetapi para shahabat –radhiallahu’anhum- mereka melakukan (hal) itu ketika pertama kali datang (di Mekkah). Para ahli fiqih mengatakan, melakukan hal itu ketika meninggalkan (Mekkah) maka menempelkan (badan) di Multazam, yaitu antara rukun yang ada hajar aswad dan pintu (ka’bah). Dari sini, maka iltizam (menempelkan tubuh di ka’bah) tidak mengapa selagi tidak menyakiti dan berdesak-desakan.” Syarkhul Al-Mumti’, 7/402, 403.

    Wallahua’lam .

  • MAKLUMAN RINGKAS TENTANG PEMBATALAN/PENANGGUHAN HAJJ DALAM SEJARAH ISLAM

    MAKLUMAN RINGKAS TENTANG PEMBATALAN/PENANGGUHAN HAJJ DALAM SEJARAH ISLAM

    Menurut sejarah, telah 40 kali haji dibatalkan atau jumlah jemaah sangat rendah menurut Yayasan Penyelidikan Dan Arkib King Abdul Aziz, dan hal ini tidak pernah terjadi sebelumnya ini.
    Antara faktor tersebut ialah:

    • Epidemik / Penyakit
    • Pergolakan politik
    • Kegawatan ekonomi
    • Ketidakstabilan keselamatan
    • Konflik
    • Aktiviti penyamun dan penyerang

     

    Beberapa tahun dan peristiwa ketika Haji ditangguhkan atau diganggu:
    1. 251 Hijrah / 865 Masihi:

    Ismail bin Yusuf Al-Alawi yang dikenali sebagai Al Safak dan pasukannya mengetuai pemberontakan terhadap Khilafah Abbasiyah dan membunuh ribuan jemaah yang berkumpul di Gunung Arafat dekat Makkah, memaksa pembatalan haji.

     

    2. 317 Hijrah / 930 Masihi:

    Boleh dikatakan peristiwa paling terkenal adalah ketika sebuah mazhab bernama Qaramitah yang menganggap ibadat haji sebagai ritual kafir yang dipimpin oleh Abu Tahir Qaramitani melakukan serangan ganas di Makkah pada musim haji. Menurut catatan bersejarah, orang Qaramani membantai 30,000 jemaah sambil mengejek mengucapkan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka menguburkan mereka di tempat mereka tanpa mandi atau berkafan atau solat Janazah. Mereka membuang 3,000 mayat ke telaga suci Zamzam dan kemudian memusnahkannya sepenuhnya. Mereka juga mencuri Batu Hitam dari Ka’bah dan membawanya ke pangkalan mereka di timur Saudi yang disebut Hajr (zaman moden Qatif) selama 22 tahun. Dikatakan bahawa selama 10 tahun selepas peristiwa ini Haji tidak dilaksanakan.

     

    3. 357 Hijrah / 968 Masihi:

    Dikatakan bahawa tahun ini dibatalkan kerana penyebaran yang dipanggil “penyakit Al-Mashiri” di Makkah, dan oleh kerana itu para jemaah meninggal, dan unta mereka mati dalam perjalanan kerana kehausan dan hanya beberapa dari mereka tiba di Makkah.

     

    4. 390 Hijrah & 419 Hijrah / 1000 Masihi & 1028 Masihi:

    Haji ditangguhkan kerana kos dan inflasi yang tinggi. Atas sebab yang sama tidak ada yang mengerjakan Haji dari Timur dan dari Mesir pada tahun 419 Hijrah.

     

    5. 492 Hijrah / 1099 Masihi:

    Haji tidak dapat dilaksanakan kerana kekacauan dan kekurangan keamanan yang menimpa umat Islam di seluruh negara. Akibat konflik yang melanda di antara mereka, dan selama lima tahun sebelum kejatuhan Yerusalem ke tangan tentera Salib.

     

    6. 654 Hijrah / 1256 Masihi:

    Selain Hijaz tidak ada negara lain yang menunaikan haji selama empat tahun kerana konflik yang berterusan.

     

    7. 1213 Hijrah / 1799 Masihi:

    Perjalanan haji berhenti semasa Revolusi Perancis kerana laluannya tidak selamat.

     

    8. 1246 Hijrah / 1831 Masihi:

    Dalam laporan terbaru, wabak yang datang dari India merebak dan menyebabkan kematian 3/4 jemaah yang mengejutkan.

     

    9. Tahun 1252 H hingga 1310 Hijrah / 1837 Masihi hingga 1892 Masihi:

    Wabak itu merebak dalam pelbagai tahun dari 1837 Masihi hingga 1892 Masihi dengan ribuan orang mati setiap hari. Pada tahun 1871 ia menyerang Madinah. Wabak ini yang dikenal sebagai Kolera merebak pada musim haji, ketika kematian meningkat di Arafat dan memuncak di Mina.

     

    10. Tahun 1441 Hijrah / 2020 Masihi:

    Wabak Coronavirus (COVID-19) menyebabkan penggantungan jemaah antarabangsa yang menunaikan haji.

  • TOUR-LOGUE BALKAN

    TOUR-LOGUE BALKAN

    BALKAN, 24 OKTOBER – 2 NOVEMBER 2019
    Oleh: Zam Uswati bin Musa
    Tour Leader Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd

    Hari Pertama: Khamis, 24 Oktober 2019

    Pada jam 11.15 malam, kira-kira 4 jam sebelum waktu berlepas, aku tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) untuk check-in bersama-sama para tetamu Mursyid Alharamain Travel & Tours, yang mana sebahagian besar mereka adalah kenalan Hj Japri dan Hjh Aishah, wakil Jualan syarikat di Muar.

    Pada jam 11.45 malam, semua tetamu tiba dan berkumpul di hadapan kaunter check-in seperti yang dijanjikan. Dari syarikat, Saudara Azim dan Saudara Rozaimi, hadir ke airport bagi membantu urusan check-in dan perlepasan. Seperti biasa, proses mengumpulkan ahli rombongan dan bagasi-bagasi memakan sedikit masa memandangkan di peringkat awal, kami tidak mengenali antara satu sama lain. Sambil bagasi diatur, ditag dan diangkat ke conveyor belt, aku mengambil peluang berkenalan dengan ahli-ahli rombongan serta mengambil foto mereka bagi tujuan identifikasi.

    Kali ini seramai 22 orang tetamu yang akan aku bawa mengembara ke Rantau Balkan; 8 orang dari Johor, 8 orang dari Pulau Pinang, 2 orang dari Selangor, 2 orang dari Pahang dan 2 orang dari Terengganu.

    Sebagaimana dicadangkan sebelum itu, beberapa orang tetamu dari Pulau Pinang telah menyewa Portable Wifi daripada Syarikat Roaming Man secara online dan menuntutnya di Kiosk KLIA manakala beberapa lagi di kalangan kami tidak berhasil menyewanya kerana kesemua modem sudah habis disewa. Jadi, tips bagi yang mahu menyewanya, dia mestilah membuat tempahan sekurang-kurangnya 2 ke 3 minggu awal. Sebuah modem boleh dikongsi bersama sehingga 5 orang dengan kadar RM18 sehari, maka untuk 8 hari jumlahnya RM144 sahaja. Jika dikongsi 4 orang, seorang hanya perlu membayar hanya RM36.

    Selesai urusan check-in, kami berkumpul untuk sedikit taklimat perjalanan dan bacaan doa sebelum ke balai perlepasan.

    Hari Kedua: Jumaat, 25 Oktober 2019

    Kira-kira jam 2.10 pagi, kami semua sudah berada di tempat duduk masing-masing di kabin Qatar Airlines. Alhamdulillah, semua mendapat tempat seperti yang ditentukan, cuma 2 orang tetamu sahaja terpaksa berpindah ke tempat lain atas faktor yang tidak dapat dipastikan. Alhamdulillah, setelah meminta bantuan pegawai penerbangan, mereka diberikan seat yang bersesuaian. Nafas lega dihela sebaik tali pinggang dipakai, sejurus itu juga bayangan Ohrid, Kotor, Dubrovnik dan Mostar yang sering diperkatakan orang mula menerjah ke minda. Selepas hampir 7 jam perjalanan, waktu Solat Subuh pun tiba, wudhu’ diambil dan solat ditunaikan di tempat duduk sekadar mampu. Aku kemudian bergerak memaklumkan kepada jemaah. Solat yang ditunaikan akan diqadha setelah kapal terbang mendarat.

    Tepat jam 5.15 pagi waktu Dhoha, pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad setelah 8 jam di langit. Penerbangan berikutnya dijadualkan pada jam 7.00 pagi, yang bermaksud kami hanya mempunyai 45 minit sahaja untuk ke bilik air atau surau sebelum bergerak ke laluan transit. Setelah selesai pemeriksaan passport, kami terpaksa berjalan agak jauh kerana pintu perlepasan yang hujung diberikan. Namun begitu, lambaian Skopje membuatkan jarak tersebut menjadi seakan dekat. Untuk menaiki pesawat seterusnya, kami dibawa menaiki sebuah bas. Perjalanan ke Skopje, North Macedonia dijadualkan mengambil masa 5 jam 15 minit, oleh itu jam 11.15 pagi kami dijangka tiba di Skopje International Airport. Sepanjang perjalanan tersebut, aku sempat berkenalan dengan sepasang suami isteri warga Skopje, Yazid, seorang Arab yang berasal dari Palestin dan Yasmin, isterinya, orang Macedonia yang fasih berbahasa Arab. Keramahan mereka berdua sangat membantu aku mengenali negara mereka serta mempelajari sedikit sebanyak perbualan asas dalam Bahasa Slavic. Alhamdulillah, dapatlah aku sedikit bekalan ilmu pengetahuan berharga dari warga Skopje sendiri, malah sebelum tiba, aku sempat merakamkan beberapa audio ucapan asas dalam bahasa mereka.

    Syukur alhamdulillah, sekali lagi kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Skopje, North Macedonia. Ungkapan pertama yang aku praktikkan ialah “Dobro Utro” yang membawa maksud “Selamat Pagi” ketika menyapa seorang pegawai lapangan terbang di laluan ketibaan. Sebutan “Skopje”dalam Bahasa Malaysia ialah “Skopyey” yang mana “j” mereka berbunyi seperti “y” mengikut bahasa kita. Negara Macedonia kini dipanggil “North Macedonia” dan huruf “c” sebenarnya dibunyikan dengan “k” iaitu “Makedonia”, bukan “s” seperti yang disebut kebanyakan orang. Inilah negara pertama yang kami lawati dalam rangka kembara ke 5 negara Balkan iaitu Macedonia, Albania, Montenegro, Bosnia & Herzegovina dan Croatia, yang mana 4 daripadanya merupakan negara-negara bekas Yugoslavia.

    Sambil kami berjalan ke kaunter pemeriksaan passport, aku sempat menggunakan wifi percuma airport bagi menghubungi Tour Guide. Beliau memberitahu akan menunggu di hadapan pintu ketibaan sambil mempamerkan sepanduk berlabel “Mursyid Alharamain”. Setelah memungut bagasi, kami bergerak seiring ke pintu keluar lapangan terbang, lalu disambut oleh Mr Mehmet Ulusoy, pemandu pelancong berbangsa Turki yang mampu bertutur lebih daripada 4 bahasa. Selesai ‘meet n greet’, kami diberi kesempatan selama 20 minit untuk ke bilik air membersih dan menyegarkan diri. Bas MAN bernombor plat SK 3100AN sudah siap menunggu di parkir. Sambil melangkah menuju ke bas, kami sempat ber’wefie’ dengan latarbelakang pintu depan lapangan terbang. Dengan hanya 24 orang penumpang, bas 48 kerusi dirasakan amat luas dan melegakan.

    Setelah doa dibacakan, taklimat ringkas dan password wifi diberikan, kami bertolak ke destinasi pertama pengembaraan kami iaitu Kota Lama Skopje dengan hanya 15 minit berbaki sebelum jam 12 tengahari. Mr Mehmet memulakan tugasnya dengan memperkenalkan pemandu bas iaitu Mr Sasko Gacov serta menceritakan latar belakang asas negara Macedonia. Kami diberitahu bahawa setiap lokasi utama lawatan akan mempunyai pemandu pelancong tempatan tersendiri kerana setiap negara mahu menjaga standard informasi pelancongan mereka.

    Kebetulan hari itu ialah hari Jumaat dan memandangkan ada permintaan untuk menunaikan solat Jumaat berjamaah di masjid, kami dibawa ke Masjid Mustafa Pasha terlebih dahulu dan bertemu dengan pemandu pelancong tempatan bernama Marina. Kumpulan tetamu wanita dibawa makan tengahari dahulu, sementara kumpulan lelaki boleh solat Jumaat atau melawat kawasan sekitar. Masjid berusia 572 tahun yang dibina sempena nama seorang menteri semasa Macedonia berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah. Senibina gabungan awal Konstantinopel dan Turki Uthmaniyyah jelas dengan identiti kubah dan minaretnya, penggunaan dinding marmar serta batu kapur. Beberapa siri restorasi dan pemuliharaan telah dijalankan khasnya setelah terjejas akibat gempa bumi 1963. Mendengar khutbah Jumaat yang pendek dalam Bahasa Slavic memberikan suatu pengalaman yang sangat unik walaupun tidak difahami. Aku sempat merakamkan seminit khutbah yang berlangsung. Setelah selesai solat pada jam 1.30 petang, kumpulan lelaki pula dibawa menyusuri celahan bangunan lama ke Pcela Restaurant yang jaraknya tidak sampai 5 minit untuk menikmati menu popular Balkan iaitu Cevapi. Hidangan 8 ketul daging kebab bersama nasi, ubi kentang, roti dan salad tidak mampu dihabiskan oleh setiap kami. Selepas itu, kami berjalan ke Kapan An yang hanya terletak di belakang restoren. Bangunan ini dahulu umpama hotel atau rumah tumpangan bagi pedagang-pedagang luar yang pada masa sama memberi perlindungan kepada mereka. 15 minit kami berlegar di laman tengah bangunan ini sambil mendengar penerangan sejarah dari Marina.

    Kemudian, kami melalui Old Bazaar yang merupakan deretan kedai-kedai lama yang diberi wajah baru. Sebelum melihat-lihat kedai cenderamata, pemandu kami mencadangkan sebuah kedai penggurup wang untuk menukar mata wang Euro yang kami bawa ke Denar Macedonia, yang mana 1 Euro ketika itu bersamaan dengan 62 Denar. Ini penting kerana kebanyakan kedai di sana lebih menerima mata wang mereka berbanding Euro. Jadi sebelum menukar mata wang untuk membeli-belah, kami kena fikirkan terlebih dahulu apakah yang ingin dibeli dan berapa bajet yang dirancang agar tiada wang berlebihan. Antara memorabilia yang dicadangkan ialah sejenis barang kemas perak dipanggil “Filigree” yang berbentuk rama-rama. Setelah menukar duit, kami diberi sedikit masa untuk membeli-belah di kedai-kedai berhampiran sebelum mara ke hadapan melintasi Chifte Hamam iaitu Rumah Mandi Berkembar dan Kale Fortress atau Tembok Pertahanan Kota Lama sambil sejarahnya diceritakan. Kami seterusnya menghala ke dataran yang dihiasi arca-arca berupa patung-patung logam beserta air pancut. Skopje sememangnya terkenal dengan ratusan patung-patung yang dibina sebagai daya tarikan pelancongan. Antara yang menarik ialah patung-patung ibu Alexander sedang menyusukan beliau yang masih bayi dan patung pahlawan dan singa-singa. Di situ kami mengambil beberapa gambar sebagai kenangan.

    Oleh kerana cuaca agak panas, faktor usia dan badan keletihan setelah lebih 15 jam perjalanan, kebanyakan tetamu tidak ikut menyeberangi Sungai Vardar melalui Stone Bridge ke Tugu Alexander The Great, monumen yang menjadi kontroversi dan mendapat kritikan negara jiran. Berhampiran monumen tersebut, terdapat Rumah Mother Theresa dan di hujung Macedonia Street, letaknya Muzium of The City of Skopje yang mana asalnya sebuah stesen keretapi lama yang rosak akibat gempa bumi berukuran 6.1 Skala Ritcher pada 5.17 pagi, 26 Julai 1963. Untuk ke muzium tersebut dari Monumen Alexander jaraknya 700 meter. Kira-kira 2 jam tempoh aktiviti bebas diberikan untuk tetamu melawat, mengambil gambar dan lain-lain sebelum kami menaiki bas ke Hotel Panoramika.

    Setibanya di hotel, kami disajikan makan malam yang sangat enak dan pastinya setelah lebih 24 jam perjalanan tanpa henti, katil bersaiz King yang empuk menjadi penyudah yang sangat sempurna. Hari pertama lawatan membuktikan bahawa kecergasan fizikal dan semangat adalah elemen-elemen yang sangat penting untuk melakukan kembara di wilayah Balkan.

    HARI KE 3: SABTU, 26 OKTOBER 2019

    Tidak lengkap perjalanan ke Macedonia jika tidak melawat “The Painted Mosque” atau Sarena Dzamija, atau juga dikenali dengan The Pasha’s Mosque yang terletak di Tetovo, kira-kira 2 jam ke Ohrid. Lalu masjid ikonik ini menjadi persinggahan pertama kami untuk hari kedua. Masjid yang dibina pada kurun ke-15 ini asalnya sebahagian daripada kompleks yang turut menempatkan madrasah, rumah mandi, makam, jambatan batu dan caravanserai yang tidak lagi wujud. Sangat ketara kenapa ia dinamakan sedemikian, pandang sahaja masjid ini dari mana-mana sudut, jelas kelihatan lukisan-lukisan bermotif flora serta kaligrafi Arab memenuhi dinding dan silingnya. Kehadiran sebuah chandelier di tengah-tengah ruang solat menyerlahkan lagi kecantikan serta dekorasinya yang halus lagi menakjubkan. Masjid ini turut mempunyai tingkat atas yang menempatkan 2 balkoni separa bulat yang kecil. Para tetamu kelihatan sangat teruja bergambar di ruang dalam dan tidak kurang di laman luar masjid yang dihiasi bunga-bunga berwarna-warni. Di hadapan masjid terdapat satu binaan kecil berbumbung di mana letaknya makam 2 saudara perempuan yang menaja pembinaan masjid ini, Hoorshide dan Mensoureh. Udara pagi yang nyaman dan segar menyempurnakan ziarah kami ke masjid popular ini.

    Kira-kira jam 12.30 tengahari, kami tiba di Old City Ohrid. Suhu ketika itu tidaklah begitu sejuk sehinggakan sebahagian kami menanggalkan jaket tebal yang dipakai. Perjalanan menyusuri bandar lama ini memberi suatu pengalaman yang unik, berbeza sedikit dengan Skopje, yang mana lorong-lorongnya agak luas, bangunan-bangunan bercampur antara gaya lama dan moden, lantainya pula dipasang petak-petak batu yang berwarna semulajadi. Oleh kerana waktu Zohor sudah masuk, Mr Mehmet menunjukkan kami dua buah masjid, antaranya yang boleh digunakan untuk solat kerana kami akan ke restoren dahulu untuk makan tengahari. Oleh kerana masjid di situ mempunyai tempat mengambil wudhu yang sangat terhad dan salah satu masjid tadi dikunci, maka tempoh yang digunakan untuk solat menjadi panjang. Berhubung soal ini, amatlah berguna jika para tetamu membawa semburan wudhu’ yang mana boleh digunakan di mana-mana sahaja, bukan sahaja menjimatkan masa dan air, malah boleh dikongsi ramai.

    Berhadapan Restoren Luna tempat kami makan, bersebelahan Central Square Krusevska Republika yang mana terdapat sebuah kolam air pancut, letaknya sepohon pokok tua iaitu “Old Plane Tree” yang dikatakan berusia lebih 900 tahun. Batangnya yang besar dan terpisah ditengah pernah dijadikan kedai gunting rambut dan café. Kini belahan tersebut dicantum menggunakan simen dan ia dikekalkan sebagai warisan sejarah Ohrid.

    Berhampiran pokok tua ini juga kelihatan Masjid Ali Pasha yang dibina oleh Sulaiman Pasha pada 1573 yang kemudiannya diadaptasi oleh Ali Pasha pada 1823. Di tepi kolam air pancut, kami bertemu dengan pemandu pelancong tempatan yang menceritakan kepada kami sejarah Bandar Lama Ohrid serta mercu-mercu tandanya. Kami kemudian dibawa ke sebuah kedai menjual mutiara kerana Ohrid terkenal dengan mutiaranya. Beberapa orang tetamu tidak melepaskan peluang menjamu mata dan membeli barang kemas mutiara termasuklah aku sendiri turut membeli dua utas gelang mutiara yang berharga sekitar 25 ke 40 Euro. Di mana-mana pasti kelihatan kedai-kedai menjual mutiara, begitu juga produk kraftangan berasaskan logam dan kayu.

    Kami dibawa menyusuri jalan dan lorong yang dipenuhi kedai-kedai menjual cenderamata sehingga tiba di dataran berhampiran Tasik Ohrid. Seorang jurugambar tua kelihatan asyik mengambil gambar kami semua untuk dijual kemudiannya. Di sepanjang jalan juga terdapat banyak café berpayung yang mana bakal menjadi lokasi utama kami menggunakan tandas, wifi dan menikmati minum petang. Apabila tiba di dataran semula, para tetamu diberikan masa bebas selama sejam untuk bersiar-siar mengambil gambar, berehat sambil minum atau membeli-belah sebelum kami ke jeti untuk menaiki cruise. Selepas menikmati secawan Latte dan memanfaatkan wifi percuma di sebuah café, aku berjalan bersama beberapa orang tetamu sambil melayani permintaan mereka untuk mengambil gambar. Tidak ada yang lebih menenangkan daripada menyedut udara segar tasik sambil melihat camar-camar laut berterbangan dan angsa berenang-renang di tepian.

    Jam 5.15 petang, matahari semakin terbenam, lalu kami berkumpul dan 15 Euro seorang dikutip sebelum menaiki bot. Setelah mendapatkan tempat duduk masing-masing, bot mula bergerak perlahan menyusuri tasik Ohrid yang tenang, sambil aku merakam gambar tetamu-tetamu sebagai kenangan. Mereka kelihatan sungguh teruja mengambil foto pemandangan dari tasik, apa lagi di saat matahari mulai hilang dari pandangan. Pantulan cahaya kuning samar-samar pada biru air tasik di kala bayu dingin mengusap pipi dalam suram senja membuatkan kami terdiam asyik sambil diulit melodi arab. Waktu ketika itu seakan-akan terhenti. Tanpa disedari, kami akhirnya tiba di jeti setelah hampir 45 minit belayar, sekaligus menutup tirai lawatan hari itu. Jeti yang kami naiki agak jauh dari hotel, maka terpaksalah kami berjalan hampir 400 meter sambil diiringi beberapa ekor anjing jinak yang agak besar. Sesekali kelibat anjing yang mengekori dekat menakutkan tetamu aku. Setibanya di hadapan Hotel Aura, kami ke parkir bas pula untuk mengangkut bagasi.

    HARI KE 4: AHAD, 27 OKTOBER 2019

    Pagi itu Mr Mehmet membawa kami ke sebuah bandar pelancongan kecil bernama Struga. Di sini, sekali lagi kami diberikan peluang menikmati keindahan Tasik Ohrid. Masa yang ada dihabiskan dengan mengambil gambar dan membeli sedikit cenderamata kerana itulah persinggahan terakhir di North Macedonia yang mana mata wangnya tidak lagi laku di Albania. Kali pertama menyeberangi sempadan tidaklah membimbangkan kami kerana Mr Mehmet sebelum itu telah pun meyakinkan kami bahawa beliau dan pemandu akan memastikan proses pemeriksaan berjalan dengan baik dan lancar.

    Dalam perjalanan kami ke Albania, hampir di mana-mana sahaja “Bunker” konkrit hitam atau kubu perlindungan bawah tanah berbentuk hemisfera dapat dilihat. Walaupun bagi kami, ia merupakan suatu pengalaman yang unik tapi pelik, itulah fenomena realiti di era pemerintahan Sosialis Komunis Enver Hoxha sekitar 1960an ke1980an. Beliau yang dilihat paranoid terhadap peperangan telah memerintahkan rakyat membina kubu-kubu ini tetapi akhirnya setelah kejatuhan Komunisme, tidak digunakan mengikut tujuan asal dan kini sama ada menjadi rumah, stor, café, perlindungan haiwan atau terbiar begitu sahaja.

    Lebih kurang jam 12.30 tengahari, kami berhenti di Restoren Palma Nova Resort di mana kami dihidangkan Pizza ala Itali sebagai menu utama dan sesudah itu solat Zohor dan Asar ditunaikan secara Jama’ dan Qasar. Foto diambil di restoren yang memiliki lanskap dan senibina yang cantik sebagai kenang-kenangan.

    Sepanjang perjalanan ke Tirana, ibu negara Albania, kami diceritakan tentang sejarah, politik, sosial dan ekonomi masyarakat Albania sambil melihat sendiri budaya setempat. Antara yang menarik tentang rakyat Albania ialah mereka sangat gemarkan kereta Mercedes, hinggakan di mana sahaja kami dapat lihat model kenderaan ini tidak kira yang lama mahupun yang baru. Kami juga dapat melihat perniagaan mencuci kenderaan di sepanjang jalan dijalankan secara tidak formal, bahkan mereka hanya menggunakan air bukit yang dipam. Satu sahaja yang kurang enak didengar, namun ia hakikat kehidupan sosial di Albania, iaitu mereka popular dengan kumpulan kongsi gelap atau gangster mafia. Muzik-muzik kelab yang rancak juga menjadi hiburan dan gaya hidup mereka.

    Selepas sejam, kami pun tiba di bandar Tirana bagi melawat beberapa ikon penting di pusat bandar Albania iaitu Skanderberg Statue, Et’hem Bey Mosque dan Clock Tower yang mana semuanya terletak di pinggir Skanderberg Square. Masjid Et’hem Bey yang ketika itu hanya 50m dari tempat kami berkumpul masih berada dalam proses pembaikpulihan, maka ia dilihat dari jauh sahaja, begitu juga Clock Tower di belakangnya. Setelah penerangan selesai, seperti biasa kami mengambil foto berkumpulan dan masa bebas selama 15 minit diberikan. Suatu yang agak typical diperhatikan iaitu hampir semua bandar mempunyai monumen seorang tokoh duduk di atas kudanya. Bagi Tirana, ianya patung gangsa Skanderberg, hero negara yang dulunya menentang kerajaan Uthmaniyyah.

    Panas terik matahari membataskan masa kami di dataran terbuka tersebut. Bas dinaiki semula untuk kami menuju ke satu lagi destinasi utama Albania iaitu bandar Shkoder atau Shkodra. Untuk ke sana hanya mengambil masa 15 minit dari Tirana. Hari sudah senja apabila kami tiba di Shkoder, maka aktiviti yang dilakukan hanyalah berjalan-jalan melihat suasana malam ditemani lampu-lampu jalan dan bangunan. Beberapa lokasi kedai dan hotel menjadi port kami untuk bergambar sebelum menaiki bas ke hotel kami yang ketiga iaitu Hotel Kompleksi Exalco-Al.

    HARI KELIMA: ISNIN, 28 OKTOBER 2019

    Pagi itu kami ke dua bandar lama di Montenegro yang bernama Budva dan Kotor yang terletak di pesisir laut Adriatik. Nama sahaja Kotor, tapi tempatnya bersih dan cantik. Tidak dapat dinafikan perasaan gayat itu ada apabila bas melalui tebing-tebing curam dan tinggi di sepanjang pesisir laut, namun keindahan panorama laut, pulau dan kota mengatasi segalanya. 15 minit sebelum tiba di Budva, Mr Mehmet menunjukkan kami sebuah pulau kecil yang dinamakan Sveti Stefan atau Saint Stefan yang menjadi mercu pelancongan bertaraf tinggi. Ia merupakan sebuah pulau eksklusif yang menempatkan hotel resort bertaraf 5 bintang dan kediaman mewah. Tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan latar belakang pulau terkenal ini, aku meminta bas berhenti. Di samping terkenal dengan bandar lama era pertengahan, tembok batu Venetian, gereja-gereja lama, Budva turut popular kerana pantai berpasir dan kehidupan malamnya. Artis-artis popular antarabangsa sering datang ke sini membuat persembahan dan penggambaran.

    Tiba di Budva yang menempatkan antara kota tertua di Pesisir Adriatik, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong tempatan yang bernama Eva. Kami dibawa berjalan kira-kira 15 minit sebelum tiba di Menara Gradenigo yang telah dibina seawal kurun ke-15 sebagai menara kawalan kota. Setelah mendengar taklimat sejarah, kami mula memasuki ‘Stari Grad’ atau Kota Lama dan melewati lorong-lorong di celah bangunan-bangunan lama yang kebanyakannya dijadikan kedai-kedai cenderamata dan café’ sehinggalah sampai ke pintu keluar kecil menuju ke Old Town Beach, sebuah pantai kecil yang menjadi lokasi bergambar kami. Pemandangan laut dari sisi dinding tembok kelihatan sangat menakjubkan. Selesai di pantai, kami masuk semula ke dalam kota lama lalu dibawa melawat beberapa gereja penting dalam sejarah masyarakat Kristian Budva seperti St Ivan Church dan Holy Trinity Church.
    Berhadapan dengannya kami dapat melihat keindahan laut dari atas tembok kota sambil menghirup udara segar dan nyaman. Untuk masuk ke Citadel yang mana di dalamnya terdapat muzium, yuran tambahan dikenakan. Setelah puas berjalan-jalan di dalam kota dan membeli sedikit memorabilia, kami keluar melalui Pizanella Gate ke pinggir marina di mana bot-bot cruise kecil dilabuhkan. Restoren Porto yang menghadap marina menjadi persinggahan terakhir kami di Budva untuk santapan tengahari sebelum menaiki bas menuju ke Old Town Kotor yang hanya mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan.

    Bandar Kotor dahulunya sebuah Kota Maritim Lama yang dikelilingi tembok batu yang dibina pada era Venetian, kini menjadi pusat pelancongan yang dipenuhi resort-resort dan hotel, menjadi persinggahan kapal-kapal Cruise dan diiktiraf sebagai satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

    Turun sahaja bas, kelihatan sebuah kapal Cruise besar berwarna putih berlabuh megah di hadapan pintu Kota, yang jelas menunjukkan gabungan identiti moden dinamik dan klasik bagi Kotor. Sebelum masuk, kami berteduh di bawah sebuah pokok di belakang Pondok Informasi Pelancong sambil Eva mengedarkan peta pelancongan Kotor. Foto berkumpulan kemudian diambil lalu kami mula memasuki kota melalui Sea Gate sambil mendengar penerangan sejarah di lokasi-lokasi utama seperti mercu tanda Kotor iaitu Clock Tower, yang juga menjadi meeting point kami, Palace of Fima Family, salah satu rumah agam lama, muzium-muzium dan gereja-gereja seperti Saint Michael dan Iglesia De San Lucas.

    Bandar Kotor simbolik dengan kucing, di kaki-kaki lima boleh dilihat banyak kucing-kucing liar bahkan di bangunan-bangunan turut diukir patung dan lambang kucing. Diceritakan dahulu, pelayar-pelayar apabila berlabuh di Teluk Kotor akan membawa turun bersama kucing-kucing mereka. Walaupun simbol Montenegro ialah Singa Venetian, tapi kucing dianggap singa kecil dan pembawa tuah kepada masyarakat, lalu ia kini menjadi simbol tidak rasmi.

    Sambil berjalan-jalan, ada yang ‘melontar’ di Hard Rock Café Shop Kotor dan kedai-kedai cenderamata di kiri kanan lorong. Tidak sempurna rasanya jika tidak menikmati secawan Americano di sebuah café terbuka dalam Stari Grad Kotor.

    Selepas hampir 2 jam di dalam kota, kami keluar sekitar jam 2.30 petang untuk menunaikan solat.

    Bas yang kami naiki pula diangkut menaiki feri di Lepetani bagi merentas Teluk Kotor ke Trebinje, Republic Srpska di mana letaknya penginapan kami, Hotel Bellevue. Perjalanan menaiki feri yang dipanggil “Trajekt” itu hanya mengambil masa 5 minit dari daerah Tivat ke Herceg Novi. Di atas feri, kami dibenarkan turun dari bas dan masa yang ada dimanfaatkan untuk bergambar serta menghirup udara petang.

    HARI KEENAM: SELASA, 29 OKTOBER 2019

    Antara destinasi pelancongan yang ditunggu-tunggu ialah “Mutiara Adriatik”, iaitu Dubrovnik, Croatia yang menjadi lokasi set-set penggambaran filem-filem dan siri tv antarabangsa, antaranya James Bond, Star Wars The Last Jedi, Knightfall dan Game of Thrones. Suasana dan senibina lama zaman pertengahan yang ada di situ membuatkannya sangat sesuai dan padan sekali dengan kehendak latarbelakang penggambaran. Di tambah pula dengan kedudukannya menghadap laut, kehadiran tembok, pelabuhan, jeti lama, bentuk muka bumi dan alam semulajadinya melengkapkan pakej Dubrovnik sebagai Kota Bersejarah Warisan UNESCO.

    Di pintu masuk kota, kami bertemu dengan pemandu pelancong tempatan bernama Janna, lalu di “Onofrio Fountain”, sebuah pancuran air berkubah, tour kami bermula. Melihat kami berkumpul, seorang lelaki berpakaian tradisional cuba menjual rantai berbentuk hati bertulis Dubrovnik 2019 dengan harga 10 Kuna. Secara umumnya kota ini menempatkan istana-istana, gereja-gereja, biara-biara lama, menara loceng di samping beberapa monumen.

    Selepas dibawa ke beberapa lokasi tumpuan sambil mendengar penerangan, para tetamu diberi masa untuk berjalan-jalan di sekitar kota, mengambil gambar dan membeli ole-ole. Berjalan di atas petak-petak marmar yang besar dan batuan Cobblestone yang berkilat dirasakan seolah kembali ke zaman Robin Hood. Hanya rupa kedai dan restoren-restoren moden yang mengubah suasana. Sebuah pasar menjual bunga-bungaan, buah-buahan, sayur-sayuran dan cenderamata di laman terbuka kota menjadi lokasi pertama kami berbelanja.

    Seorang tetamu muda yang meminati siri TV Game of Thrones kelihatan teruja bertanyakan Janna tentang lokasi-lokasi penggambarannya. Kesempatan yang ada aku gunakan untuk menjelajah berapa bahagian Kota Dubrovnik yang popular seperti Jesuit Stairs dan Church of St Blaise sambil melakukan Facebook Live. Croatia adalah bandar pelancongan yang mahal hinggakan bayaran masuk tandas pun berharga 1.50 ke 2 HRK.

    Sejam berlalu dan kami berkumpul semula berhampiran pintu masuk sebelum ke jeti untuk menaiki bot skali lagi. Cuma kali ini, ia adalah pilihan dan semua bersetuju membayar 15 Euro seorang. Bot membawa kami menyusuri Laut Adriatik sambil menghadiahkan panorama kota lama beserta temboknya, bumbung-bumbung rumah berwarna oren di lereng-lereng bukit, pulau-pulau yang hijau memukau dan batu-batu kapur yang dihempas ombak. Semua sentiasa teruja dan bersedia menekan butang kamera di telefon masing-masing. Sementara itu, aku dan seorang tetamu mengagihkan anggur serta buah tin yang dibeli di pasar sebelum itu.

    Setelah berakhir pelayaran, kami keluar dari kota dan sebelum ke restoren, kami singgah di satu viewing point dari atas tembok kota menghadap laut selama 20 minit.

    Menu yang menunggu kami tengahari itu ialah Risotto, sejenis makanan Itali. Makan di Restoren Mimoza umpama makan di dalam taman kerana dekorasi ruang dalamannya yang mesra alam, pepohon hijau mengelilingi serta memayungi kami dalam suasana yang tenang lagi menyegarkan.

    Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari apabila kami bertolak meninggalkan Croatia menuju ke Bosnia & Herzegovina. Ianya agak menarik kerana hampir keseluruhan jalur pesisir pantai dimiliki oleh negara Croatia walaupun berada di dalam wilayah Bosnia & Herzegovina. Ini bermakna secara geografinya Bosnia & herzegovina terkepung oleh Serbia, Croatia dan Montenegro, tanpa memiliki akses laut.

    Kira-kira jam 3 petang, kami berhenti di sebuah perkampungan komuniti Muslim Bosnia untuk menunaikan solat. Surau tersebut di kelilingi pagar kayu dengan sedikit binaan batu, di lamannya terdapat beberapa pohon Zaitun manakala di tengah-tengahnya terdapat sebuah tempat wudhu berbentuk bulat, mirip kebanyakan masjid zaman Turki Uthmaniyyah. Suasana aman dan kerohanian dapat dirasai ketika solat di situ.

    Memandangkan hari sudah mulai gelap, kami mengubah jadual untuk ke Kravice Waterfall terlebih dahulu. Rancangan asalnya ialah ke Mostar petang itu, namun ia akan merugikan kerana tempoh melawat bandar lama itu akan menjadi sangat pendek berbanding dengan hanya melihat dan mengambil gambar di kawasan air terjun. Pengunjung yang datang dibenarkan berkelah, berkhemah, berkayak malah berenang, namun tidak bagi kami yang hanya memiliki sekitar 30 minit. Deretan 20 air terjun di selang-seli kehijauan dedaun mengelilingi sebuah tasik pasti mempesona sesiapa yang melihatnya. Agak tidak bernasib baik bagi sebahagian kami yang tidak dapat melihat air terjun dengan lebih dekat kerana ia memerlukan sedikit kekuatan fizikal untuk turun bukit dan naik semula. Berdiri sambil menikmati keindahan khazanah alam ciptaan Tuhan di Kravice tidaklah sia-sia walaupun walaupun untuk 15 minit sahaja. Sebelum bertolak ke Citluk pada jam 5 petang, beberapa kami sempat membeli Fridge Magnet dari Kravice. Kira-kira 45 minit kemudian, kami tiba di Hotel Brotnjo yang menjadi penginapan pada malam itu.

    Malam itu, sambutan Hari Lahir En. Zainuddin diadakan selepas makan malam. Aku dan Mr Mehmet menghadiahkannya sepotong kek dan secawan kopi Bosnia. Foto dirakam dan kegembiraan ‘Abang Din’ jelas terpancar di sebalik senyumannya.

    HARI KE-7: RABU, 30 OKTOBER 2019

    Jam 8.00 pagi, bas bergerak membawa kami menziarahi sebuah kota penuh bersejarah di Bosnia Herzegovina, Mostar. Bangunan-bangunan kedai, pejabat serta kediaman dilalui, hampir semuanya masih lagi berparut, mempamerkan luka-luka lama serta-merta menggamit kenangan berdarah peperangan lalu di lubuk memori yang hampir pudar. Teringat ketika TV dan akhbar melaporkan berita-berita, ketika pasukan tentera Malaysia dihantar sebagai pengaman, aku di tingkatan 4 masih lagi mentah. Kesan-kesan peluru tembakan dan bom pada bangunan-bangunan dibiarkan sebagai ingatan dan iktibar bagi generasi kemudian. Melihat bekas-bekas ini sahaja sudah cukup memberi bayangan betapa hebat igauan dan trauma akibat peperangan dialami penduduk tempatan. Perang Saudara Bosnia 1992-1995 antara 3 kuasa iaitu Serbia, Bosnia dan Croatia menyaksikan ribuan umat Islam Bosniak dibunuh, diperlakukan dengan kejam serta dihalau. Majoriti sasaran roket, mortar dan penembak tepat ialah populasi Muslim yang menjadikan ia antara ‘penghapusan etnik’ terburuk dalam sejarah di mana kematian dilaporkan mencecah 300,000 orang, manakala lebih 1.5 juta orang pula diusir.

    Tiba di bandar lama, kami berjalan sejauh kira-kira 300 meter ke jambatan ikonik berstruktur gerbang, Stari Most atau Old Bridge. Sementara itu, kami diperkenalkan dengan Ibrahim, pemandu pelancong tempatan yang membawa kami menziarahi kawasan Mostar serta menceritakan sejarahnya. Suhunya agak nyaman dan dingin, berbeza dengan negara-negara yang kami lawati sebelumnya. Lubang-lubang pada bangunan-bangunan tidak lekang dari pandangan. Kami bermula dari jalan bawah jambatan kerana ia merupakan sudut yang tercantik untuk mengambil gambar Stari Most yang tersergam. Sungai Neretva mengalir jernih sambil membawa bersama beberapa ekor itik yang menceriakan suasana. Gambar berkumpulan turut diabadikan berlatarbelakangkan jambatan yang menjadi mercu utama Mostar itu. Ia dahulunya telah rosak akibat peperangan dan dibina semula hasil sumbangan beberapa saintis UNESCO. Kemudian, kami masuk ke kota Mostar melalui bazar-bazar Oriental kecil yang menjual pelbagai cenderamata dan café-café di sepanjang laluan berbatu. Sampai sahaja di jambatan, kelihatan ramai pengunjung sedang asyik bergambar di atasnya. Kami diberi masa sejam untuk bersiar-siar, minum pagi atau ke tandas. Aku mengambil kesempatan tersebut untuk merasa Kopi Bosnia yang hitam pekat bersama 2 potong kuih tradisional di sebuah café berhampiran jambatan sambil wifi percuma dimanfaatkan untuk melakukan ‘Live’ di Facebook. Selesai minum, dengan baki masa yang ada, aku sempat berjalan-jalan di seberang jambatan untuk melihat bangunan-bangunan tradisi tinggalan empayar Turki Uthmaniyyah seperti Bazar ‘Kujundziluk’, rumah-rumah Turki lama, Bey’s Mosque dan Hamam. Masa yang mencemburui memaksa aku mempercepatkan langkah kembali ke tempat berhimpun.

    Perjalanan kami ke destinasi kedua tidak kurang mengimbau episod luka dan duka masyarakat Bosnia. Kelibat bangunan-bangunan lama yang pernah dihinggapi peluru, rosak dan runtuh membuatkan hati kami sayu mengenangkan nasib mereka. Sungguh, nikmat-nikmat yang dikecapi wajib disyukuri selayaknya.

    Kami tiba di Vrelo Bosne Nature Park yang ternyata memikat hati kami yang ingin melihat dan merasai sendiri kecantikan alam semulajadi di musim luruh apabila pepohon Mapel menggugurkan daunnya, dengan lantai taman penuh dedaun hijau 3 tona berserakan. Keseronokan ber’main’ menyebabkan semua seolah menjadi muda semula. Senyuman dan ketawa riang jelas terpamer di muka para jemaah yang asyik ber’posing’ dan bergambar. Di bahagian tengah taman, terdapat beberapa tasik mata air yang dihuni seekor dua angsa Swan dengan titian kayu yang juga menjadi ‘spot’ pilihan kami untuk menekan butang kamera. Kehijauan alam, keindahan flora dan fauna serta kedamaian yang dirasai menjadikan Vrelo Bosne destinasi yang sempurna untuk menenangkan minda dan berehat.

    Setelah lebih 30 minit masa dihabiskan, kami kembali ke bas untuk ke lokasi lawatan seterusnya iaitu Terowong Sarajevo atau Tunnel of Hope, yang selebar 1m, setinggi 1.6m, sepanjang 800m, terletak di antara dua buah rumah dan merentasi laluan pesawat di lapangan terbang yang dikawal UN. Terowong yang menjadi talian hayat terakhir mereka ini dibina pada Mac 1993 dengan hanya menggunakan penyodok dan beliung dengan suluhan malap “lilin perang” yang menggunakan minyak masak sebagai bahan bakarnya. Sebelum disajikan dengan tontonan dokumentari berdurasi 25 minit, kami dipamerkan gambar-gambar berinformasi menceritakan Sejarah Perang Bosnia 1992 dan pembinaan Terowong Bawah Tanah berkenaan. Sesudah itu, kami di bawa memasuki satu segmen terowong yang hanya sepanjang 25 meter. Melihat keadaan terowong, replika-replika yang dipamerkan serta rel yang dibina bagi membawa masuk makanan, ubatan dan senjata sudah cukup membayangkan penderitaan dan perjuangan rakyat Islam Bosnia yang dikepung. Menziarahi ‘Muzim Perang’ ini memberi pengajaran dan iktibar bermakna khususnya bagaimana agama, geografi, sosial dan politik mempengaruhi hubungan antara masyarakat antarabangsa.

    Jam 1.45 petang, kami menaiki bas semula menuju ke ibu kota. Seluruh bandar umpama muzium dan galeri hidup yang mempamerkan jatuh bangun Sarajevo bersama solidariti masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.

    Hujan renyai-renyai mula membasahi tingkap bas. Jam 2.30 petang, bas menurunkan kami di sisi jalan, payung-payung kecil dikembangkan lalu dengan agak tergesa-gesa kami meredah hujan ke Restoren Djuladin Dvor. Sebelum tiba di restoren untuk makan tengahari, Mr Mehmet sempat menunjukkan beberapa mercu tanda utama dan masjid untuk kami tunaikan solat. Antara yang bersejarah ialah Latin Bridge yang dikatakan menjadi lokasi di mana Archduke atau Putera Raja Austria, Franz Ferdinand dibunuh oleh Gavrilo Princip, seorang warga Bosnia berbangsa Serbia pada tahun 1914 lalu mencetuskan Perang Dunia Pertama. Walaupun sebahagian kami kelihatan sedikit kebasahan kerana tidak membawa payung, namun alhamdulillah.. hujan tidak selebat mana dan hawa panas restoren memberi kelegaan. Selesai menikmati Cevapi bersama roti kebab dan sejenis sos tradisi tempatan, kami terus ke masjid terbesar di situ iaitu Gazi Husrev-Beg’s Mosque untuk mengumpulkan solat di hujung waktu Asar. Di belakang masjid terdapat sebuah Menara Jam, manakala di sekelilingnya penuh dengan kedai-kedai berciri Oriental, restoren-restoren serta café’. Kami meluangkan masa selama 1 jam 30 minit untuk melihat-lihat dan membeli-belah di sekitar bandar lama tersebut. Ketika masa masih berbaki 30 minit, aku melalui Jalan Lama Kazandzilu untuk ‘memeriksa’ kedai-kedai di mana kepingan-kepingan tembaga diubah menjadi hasil-hasil seni. ‘The Sebilj’, sebuah binaan pancur air kayu gaya Uthmaniyyah yang dibina oleh Mehmed Pasha Kukavica pada 1753 menjadi ‘meeting point’ kami sekaligus lokasi kami merakamkan foto berkumpulan. Ketika itu, hari sudah pun malam dan aku berjaya membelanjakan kesemua Covertible Mark yang ada untuk 2 pek kopi Bosnia, sebuah Teko Tembaga Tradisional, sehelai T-Shirt dan beberapa jenis cenderamata seperti rantai kunci peluru kerana esoknya kami akan berangkat meninggalkan Bosnia & Herzegovina.

    Bascarcija Old Town, Sarajevo menutup lawatan kami pada hari ke-7 sebelum bertandang ke New Hotel untuk penginapan malam itu.

    HARI KE-8: KHAMIS, 31 OKTOBER 2019

    Perjalanan kami hari itu hampir keseluruhannya di atas bas. Dari Bosnia ke Zagreb, ibu negara Croatia mengambil masa hampir 8 jam termasuk proses imigresen di dua sempadan dan makan tengahari. Namun ia langsung tidak membosankan kerana sepanjang jalan kami dihidangkan dengan panorama alam semulajadi yang sungguh memukau dan mempesona. Lereng-lereng bukit hijau berbatu dengan jajaran air sungai yang jernih membuatkan kami leka mencuci mata serta mengambil gambar. Selang beberapa ketika kami terlelap dan terbuai dengan alunan muzik Balkan yang dipasang oleh pemandu. Apa yang menarik juga, kami dapat melihat memorial-memorial mini dibina di pinggir-pinggir jalan bagi memperingati mereka yang mati akibat kemalangan jalanraya. Selepas 2 jam, bas berhenti di sebuah stesen minyak sekaligus memberi peluang kepada kami ke bilik air dan menikmati secawan kopi murah berharga 1 KM sahaja.

    Jam 1.20 petang, kami singgah di Restoren Derdan, dalam daerah Gradiska untuk makan tengahari. Rupa-rupanya restoren tersebut hanya terletak 1km dari Border Crossing Stara Gradiska, di seberang Sungai Sava. Selepas 40 minit berhenti, kami melintasi jambatan ke Stesen Lintasan Sempadan Bosnia & Herzegovina, seterusnya bagi negara Croatia. Itulah penyeberangan sempadan darat terakhir kami di mana semua penumpang dikehendaki turun membawa passport masing-masing dan beratur untuk pemeriksaan secara individu. Alhamdulillah, seluruh proses memakan masa hampir 30 minit tanpa sebarang masalah. Agak sukar untuk menemui masjid atau surau di lebuhraya luar bandar Croatia, maka kami terpaksa menunggu sehingga tiba di bandar. Oleh kerana sudah menghampiri waktu Maghrib, kami tiada pilihan melainkan solat menghormati waktu di atas bas sebelum sampai ke masjid.

    Kami tiba di Pusat Islam Zagreb di mana letaknya Zagreb Central Mosque pada jam 4.45 petang. Tidak lama selepas itu azan Maghrib berkumandang, lalu kami terus solat secara berjamaah. Sejam kemudian, kami dibawa ke sebuah Pusat Membeli-belah City Center One East. Sebahagian kami tidak melepaskan peluang membeli-belah pakaian berjenama kerana harganya lebih murah berbanding di Malaysia.

    Hotel Puntijar yang mirip sebuah banglo dengan gaya kolonial lama menjadi penginapan kami yang terakhir. Sebelum menikmati santapan malam di ruang makan bergaya Eropah Klasik, kami dibawa oleh tuan pengurus melihat galeri dan koleksi barangan peribadi keluarga pemilik hotel. Oleh kerana malam sudah lewat dan perut berkeroncong, kebanyakan kami tidak sabar lagi untuk ke meja makan. Makan di ruang makan yang bertema klasik Tradisional Eropah dengan cahaya yang suram memberikan satu pengalaman unik yang tidak dapat dilupakan.

    HARI KE-9: JUMAAT, 1 NOVEMBER 2019

    Selesai sarapan, para tetamu mengambil kesempatan bergambar di dalam hotel yang penuh dihiasi barangan antik. Aku secara peribadi melihat ia sebagai sebuah galeri kerana tidak sedikit malahan puluhan gambar berbingkai tergantung di segenap ruang dinding dalaman hotel. Mr Sasko, pemandu kami dan Mr Mehmet juga tidak ketinggalan bergambar kenangan di laman luar hotel.

    Jam 8 pagi, roda bas berputar untuk membawa kami ke destinasi terakhir Kembara Balkan iaitu pusat bandar Zagreb. Perjalanan dari hotel mengambil masa 20 minit sahaja untuk tiba di ibu kota Croatia itu. Sebaik bas berhenti, kami berjalan ke satu lokasi berhampiran sebuah taman dan tandas awam untuk bertemu dengan pemandu pelancong wanita tempatan. Sepanjang kembara, hanya 2 orang pemandu pelancong lelaki yang memandu kami, selebihnya semua wanita. Jalan kelihatan agak lengang manakala kedai-kedai pun masih belum dibuka. Kami berjalan santai dan berhenti di sebuah arca bongkah segi empat sama yang tertulis 1.7.2013 iaitu tarikh bersejarah penyertaan Croatia dalam Kesatuan Eropah (EU). Tidak jauh ke hadapan, terdapat beberapa gerai menjual buah zaitun dan produk-produk buatan tangan tempatan baru dibuka. Kemudian kami berkumpul mengelilingi sebuah model Bandar Zagreb bersalut gangsa di atas sebuah tapak setinggi lutut sambil pemandu pelancong menunjukkan arah bangunan-bangunan serta laluan utama. Semakin kami menghampiri dataran utama, semakin banyak kelihatan gerai-gerai menjual lilin dan jambakan bunga. Pemandu pelancong memberitahu bahawa hari Jumaat merupakan hari masyarakat Kristian menziarahi Perkuburan, maka kedai-kedai banyak ditutup termasuklah Dolac Market yang popular itu. Kami terus berjalan ke arah sebuah dataran yang mana di tengah-tengahnya terdapat sebuah pancuran air bersama Monumen Virgin Mary bersadur cat emas. Menghadap pancur tersebut ialah sebuah gereja Katolik besar berciri Neo-Gothic iaitu Zagreb Cathedral sedang dibaik pulih. Keterujaan kami untuk mengambil gambar agak terbatas kerana kehadiran unsur-unsur agama Kristian. Di sebelah gereja tersebut, kelihatan sebuah tembok pertahanan lama beserta menara kawalan yang masih utuh. Menurut sejarah, ia dibina sebagai persediaan menghadapi ancaman serangan Empayar Turki Uthmaniyyah yang ketika itu telah memasuki Croatia pada akhir kurun ke-15. Kami seterusnya dibawa ke Ben Jelacic Square melalui pasar Dolac, kedai-kedai cenderamata dan restoren-restoren. Di sepanjang laluan, kami berjumpa dua patung logam; yang pertama ialah pemuda bernama Petrica Kerempuh sedang bermain mandoilin sedang dua orang lagi mati terikat di sebatang tiang. Patung yang kedua ialah Marija Juric Zagorka yang merupakan wartawan pertama Croatia, tokoh hak asasi wanita dan antara penulis Croatia yang paling popular. Memandangkan beberapa lokasi lawatan seperti Lotrscak Tower dan St Mark Church agak jauh dan laluannya sedikit berbukit, tidak semua kami mengikutinya. Setelah poin dan masa pertemuan ditentukan, masing-masing mula mencari arah sendiri, ada yang ke kedai cenderamata Barbara berhadapan Dolac Market, ada yang berlegar di sekitar Dataran Ben Jelacic dan ada yang ke restoren menikmati kopi panas. Bergambar beramai-ramai di hadapan Ben Josip Jelacic Monument menjadi aktiviti terakhir kami di situ. Count Josip Jelacic merupakan seorang bekas tentera yang dilantik menjadi Gabenor Croatia di bawah Empayar Austria yang membantu mematahkan penentangan Nasionalis pada tahun 1848. Pada jam 11.15 pagi, bas menjemput kami sekali lagi ke Zagreb Islamic Center di mana kami dihidangkan Cevapi buat kali ketiga, kali terakhir dan Alhamdulillah, yang paling sedap. Daging dan roti yang tidak habis kami bungkus untuk dimakan kemudian.

    Selesai makan, kami terus bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zagreb, yang menandakan berakhirnya Kembara Balkan kami. Ucapan akhir diberikan oleh Mr Mehmet, En. Azfar Wijaya sebagai wakil tetamu dan aku sendiri sebagai Ketua Kembara di atas bas. Penghargaan dan terima kasih turut disampaikan kepada Tuan Pemandu, Mr Sasko yang sangat mesra dan berhemah.

    Setibanya di airport, aku dan tetamu-tetamu lelaki bersalam-salaman, berpelukan dan bergambar dengan pemandu serta Tour Guide. Sebelum lambaian perpisahan, aku sempat menghulurkan sedikit tip yang disumbangkan jemaah untuk mereka berdua. Setelah menyelesaikan urusan check-in, kami ke surau bagi menunaikan solat Zohor dan Asar sebelum berangkat ke balai perlepasan. Sebelum berangkat, Pn Hamidah membahagikan potongan kek sempena meraikan ulangtahun kelahiran suaminya, En. Mubin, termasuk ulangtahun perkahwinan 2 pasangan tetamu. Kami dijadualkan terbang pada jam 3.05 petang ke Doha, namun berlaku sedikit kelewatan selama 20 minit. Kira-kira 6 jam 30 minit kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Hamad untuk transit selama 4 jam sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

    HARI KE-10: SABTU, 2 NOVEMBER 2019

    Sementara menunggu maklumat penerbangan QR848 muncul di papan informasi, aku bersama beberapa tetamu lelaki ke surau bagi menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara berjamaah. Kemudian, medan selera menjadi ‘pelabuhan’ kami untuk minum serta mengalas perut. Sebaik pintu boarding diketahui, kami bergerak ke ruang menunggu seterusnya. Di situ kami sempat berkenalan dengan jemaah Malaysia lain serta berkongsi cerita kembara masing-masing. Ianya tidak lama sebelum panggilan berlepas dibuat lalu kami beratur panjang ke bahagian pemeriksaan. Tepat jam 3.10 pagi waktu Doha, pesawat yang membawa kami menaikkan rodanya. Bayangan keluarga tercinta dan makanan dirindui perlahan-lahan melintas di fikiran.

    Kembara 8 hari 7 malam di 5 negara Balkan bersama 22 orang tetamu ini pastinya menyimpan seribu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Kepada semua tetamu Mursyid Alharamain Travel & Tours, salam mahabbah, semoga ukhuwwah berkekalan dan bertemu lagi di lain masa.

  • Mustafa Kemal Ataturk: Antara Hero & Petualang

    Mustafa Kemal Ataturk: Antara Hero & Petualang

    Ketika itu belum wujud gambar berwarna
    Gambar beliau yang diwarnakan

    Ke mana sahaja anda pergi di Turki, anda pasti akan nampak gambar Mustafa Kemal atau monumen beliau. Di hampir semua pusat bandar patungnya didirikan dengan megah. Imejnya mendominasi segenap lanskap Turki walaupun sudah 80 tahun setelah kematiannya. Pada duit, bendera, kedai, pejabat, hospital dan sekolah, semuanya ada wajah lelaki bermata biru berkaca ini. Ini menggambarkan betapa personaliti ini diagungkan dan dikenang sebagai lagenda dan hero Turki. Legasinya ini sentiasa bernyawa dalam kehidupan masyarakat Turki.

    Siapakah Mustafa Kemal sebenarnya? Jawapannya subjektif kepada orang ‘yang ditanya’. Faktanya, nama beliau hanyalah “Mustafa”, manakala ‘Kemal’ yang bermaksud “yang sempurna” dalam Bahasa Arab adalah gelaran yang diberikan sejak beliau di sekolah kadet tentera, kerana dianggap pintar dalam matematik dengan ‘pertolongan’ gurunya. “Atta-turk” yang disebut-sebut itu pula sebenarnya merupakan ‘surname’ (nama keluarga) yang dianugerahkan kepada Mustafa yang bermaksud “Bapa Turki” atau “Bapa Orang-orang Turki” yang menjadi sistem penamaan baru ketika itu. Selain itu, beliau turut dikurniakan gelaran “Gazi” atau dalam bahasa Arabnya “al-Ghaazi” yang bermaksud “yang memerangi” kerana perjuangan dan kecederaannya di medan perang. Beliau pernah menjadi Jeneral Tentera yang dikatakan berjaya mengusir Tentera Bersekutu, tentera Greek, Perancis dan Itali serta membuka jalan ke arah kemerdekaan Turki. Sebelum itu beliau juga pernah digelar “Pasha”, suatu gelaran kehormat ketika masih memimpin ketenteraan.

    Sebelum kejatuhan khilafah, beliau pernah memimpin sebuah Parti Nasionalisme Turki yang berhaluan kiri radikal yang berpusat di Ankara. Semasa inilah pada pandangan saya, beliau berada di tempat yang betul pada masa yang betul. Oleh kerana ketegasan dan keseriusan beliau membangkang, Perjanjian Sevres tidak ditandatangani, lalu menyebabkan British mengeksploitasi tentera Greek untuk menyerang Izmir yang mana kemenangan berpihak kepada tentera Turki yang dipimpin Ataturk. Cuba anda bayangkan, ketika nyawa kerajaan Islam terakhir sedang berada di hujung tanduk dan seluruh umat Islam bergantung harap kepada tentera ini, mereka menang. Disebabkan itu, blok barat terpaksa mengadakan perjanjian baru yang dinamakan “Perjanjian Lausanne” dengan Mustafa yang menyaksikan jajahan-jajahan Turki dikembalikan dan beliau diangkat menjadi presiden yang pertama yang dihormati dan dipandang tinggi oleh dunia Islam.

    Umum mengetahui sebagaimana yang diajar dalam teks Sejarah Dunia SPM bahawa beliaulah Presiden pertama dan Pengasas Republik Turki Moden Sekular yang menjatuhkan Empayar Turki Uthmaniyyah yang telah memerintah selama kira-kira 623 tahun. Beliau juga reformis dan pemimpin revolusi Turki yang mencetuskan revolusi secara hampir menyeluruh terhadap sistem pemerintahan Turki dan sistem-sistem lain di bawahnya. Ideologi “Kemalism” yang dibawanya sebenarnya telah menyusup ke dalam pemerintahan Khilafah lebih awal, yang sedikit demi sedikit mengatur jalan kepada kemasukannya sebagai pemerintah dan menyediakan rakyat kepada reformasi beliau.

    Seorang penulis buku ‘Atatürk: The Biography of the Founder of Modern Turkey’, Andrew Mango pernah berkata:

    Ataturk telah merencanakan satu revolusi kebudayaan kerana beliau tidak nampak apa-apa nilai dalam tradisi Islam”.

    Burhanettin Bulut dari parti pembangkang, CHP pernah memberitahu Al-Jazeera:

    “Untuk kebanyakan rakyat Turki, Ataturk dan idea-ideanya adalah degup jantung kepada Republik ini.”

    Hati-hati jika kalau hendak berbicara tentang beliau. Silap-silap, penjaralah tempat tidur anda jika tertangkap memburukkan atau menghinanya di Turki. Beliaulah satu-satunya pemimpin yang sudah mati yang masih dilindungi oleh undang-undang Turki. Ya, menghina Ataturk adalah satu jenayah di Turki. Pernah tangkapan-tangkapan dibuat terhadap orang awam, alim ulama’, wartawan dan aktivis yang mengkritiknya. Presiden Turki, Tuan Erdogan sendiri pernah memenjarakan dua orang wartawan Turki bernama Nagehan Alc? dan Ahmet Altan selama 6 tahun kerana mengatakan Ataturk seorang “Diktator”.

    Kata Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika ulangtahun ke-79 kematian Ataturk -walaupun tentu sekali kata-kata seorang ahli politik tidak semestinya menggambarkan pendirian peribadi beliau-:

    “Negara kita selamanya menghormati Mustafa. Kita tahu sangat yang negara kita tiada masalah dengan panggilan “Bapa Orang Turki”, yang mana ia sendiri memberikan nama itu kepada beliau. Jadi, mengapa ada perdebatan tentangnya?”

    Kenyataan sebegitu oleh Presiden Turki dari Parti AKP yang pro-Islam sememangnya -pada pandangan saya- tidak mencerminkan pendirian sebenar mereka, sebaliknya merupakan ‘modal’ politik yang memberikan keuntungan tertentu. Mana mungkin sebuah parti yang menentang ‘Kemalisme’ dan sekularime agresif yang menyerang Islam dan menghilang pengaruhnya dalam kehidupan sosial tidak menentang individu yang bertanggungjawab mendukungnya.

    Selain itu, kalau kita tanya kebanyakan pemimpin politik Turki: “Siapa yang kamu rasa boleh dijadikan watak Hollywood?”, pasti mereka akan kata “Ataturk”.

    Dari perspektif rakyat Turki, secara umum beliau dikatakan lagenda dan hero bagi negara Turki, sama ada kata-kata itu jujur atau tidak hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu. Apa yang saya tahu, ia bukanlah mewakili pendirian 100% orang Turki yang mana saya yakin secara terang atau berselindung, ramai juga yang tidak bersetuju atau tidak sukakan beliau, ideologi beliau atau sikap beliau terhadap Islam. Apa yang pasti, persepsi manusia bergantung kepada apa yang mereka tahu dan faham. Sebagaimana di Malaysia, jika kita berpada dengan sejarah yang diajar dari buku teks, maka setakat itulah ilmu dan kefahaman kita.

    Dalam Islam, yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Menyembunyi dan mempertahankan kebatilan kerana takutkan manusia atau kepentingan duniawi adalah suatu bentuk pencabulan, kezaliman, malah marupakan satu ciri nifaq. Lebih teruk, ia boleh mengakibatkan gugurnya iman! Wal-‘iazubillah.

    Kenapa beliau dianggap seorang ‘hero’?

    Tidak lain kerana beliaulah yang dianggap punca kemerdekaan Turki, yang membebaskan wilayah-wilayah Turki dari kuasa Barat dan Eropah, kemudian merevolusikan Turki dari pelbagai aspek. Beliau turut dihormati kerana mampu berkhutbah tentang Islam. Berikut antara yang sumbangan dan dasar beliau:

    1. Menjadi komander yang memenangkan Turki khususnya dalam Perang Kemerdekaan 1919-1923 dan mendapatkan kemerdekaan daripada pihak Berikat melalui Perjanjian Lausanne 1922 dengan 4 syarat: Khilafah dihapuskan, khalifah diusir, harta khalifah dirampas dan negara Turki baru diasaskan atas asas sekular.
    2. Membina sebuah kerajaan republik total berasaskan demokrasi menggantikan sistem kesultanan dan monarki, serta enggan menerima mandat daripada kuasa-kuasa barat.
    3. Men’sekular’kan sistem kehakiman, undang-undang dan negara secara keseluruhannya.
    4. Menggantikan para ulama elit dengan ahli-ahli birokrasi moden serta menghapuskan sistem kekhalifahan yang dianggap menghasilkan para fundamentalis ekstrim.
    5. Menggantikan sistem pendidikan fundamentalis dan islamik yang dianggap sudah reput dengan sistem sekular dan saintifik, seperti menghapuskan institusi pendidikan bukan kerajaan seperti Madrasah-madrasah.
    6. Menjadikan bahasa Turki satu bahasa sahaja tanpa ada Bahasa Arab dan Parsi.
    7. Menggantikan abjad Arab dengan abjad Latin yang dianggap lebih mengembangkan keupayaan pembelajaran. Tulisan Arab di dalam Al-Quran digantikan dengan terjemahan ke Bahasa Turki sepenuhnya dan azan diperintah agar dikumandangkan dalam Bahasa Turki sahaja.
    8. Menginisiatifkan pertukaran populasi antara lebih 1.6 juta orang Greek di Turki dan kira 355,000 orang Islam di Greek  pada 1923. 
    9. Memberikan hak dan kebebasan kepada kaum wanita untuk mengundi dan dicalonkan.
    10. Memperkenalkan kod berpakaian yang baru dan moden seperti memakai topi ala Barat, memakai skirt bagi perempuan dan memakai tudung secara terhad.
    11. Memakai model ekonomi berasaskan teori Lor Keynes dan membina asas industri moden.
    12. Membina institusi kerajaan yang kekal seperti Institusi Sejarah Turki, Institusi Bahasa Turki dan Institusi Ankasa Lepas Turki.
    13. Masjid-masjid ditutup, Masjid Aya Sofia dijadikan muzium dan solat berjemaah dilarang.

    Mr Sener Eruygur dari Ataturk Thought Association mengatakan:

    “Beliau merupakan simen bagi negara Turki yang memegangnya bersama. Ataturk memberikan orang Turki harapan ketika kelihatan tiada harapan. Beliau memberikan kami kemerdekaan.”

    Kita boleh lihat penyokong-penyokong sekularisme dan musuh Islam mempertahankan beliau seakan-akan beliau ini ‘Tuhan’ serta menyerang sesiapa yang tidak mahu mengikut mereka manakala yang lainnya secara rahsia bersikap neutral.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud:

    {Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik ….} (al-Maaidah : 82)

    Pada saya, apa yang jelas ialah Mustafa Kemal cuba menghapuskan secara total kesedaran rakyatnya tentang Islam dengan menghilangkan pendidikan Islam, pada masa yang sama membawa masuk dan menerapkan budaya barat dan sistem sekular yang hanya melalaikan serta merosakkan sistem nilai masyarakat mereka. Kerana itu, tidak hairanlah jika kita sukar melihat orang muda Turki solat.

    [Barang siapa yang mengada-adakan sesuatu di dalam agama kami ini yang bukan darinya maka tertolak.] (Hadith Sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Seluruh dunia Islam sudah mula nampak sisi sebenar tokoh tersebut. Orang Islam mana yang tidak sensitif apabila Khalifah Islam dihalau, al-Quran dibaling kepadanya, ulama’ digantung, imej dan pakaian islamik diharamkan, semangat nasionalisme ekstrim dipromosi, laungan azan dialih ke bahasa Turki, masjid-masjid diletak bawah pemantauan, wanita dipaksa berpakaian ala barat, rakyat yang menentang dipenjara dan dibunuh serta pemimpin yang menang pilihanraya digulingkan lalu digantung. Tidak dinafikan pada masa yang sama, kelemahan pemimpin dan orang Islam juga menjadi faktor kegagalan mempertahankan negara Islam.

    Secara asasnya sebagai orang Islam yang faham Islam, apabila melihat syariat Islam seperti belajar agama, menutup aurat, undang-undang Syar’ie ditentang pelaksanaannya, malah digantikan pula dengan syariat Kuffar, itu sudah cukup untuk menandakan bahawa Islam sedang diperangi, bukan lagi secara halus bahkan terang-terangan. Allah Taala sudah memberitahu secara jelas dalam surah al-Baqarah ayat 120:

    {Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu hingga kamu mengikuti agama mereka …}

    Di kalangan pengkritik-pengkritik, ada yang menggelarnya seorang “Diktator zalim”, “Gay”, “Ahli Freemason”, “Pengikut Doenmeh” dan “Yahudi Zionis”. Namun, masih banyak kekeliruan berlegar-legar di kalangan orang-orang Islam mahupun bukan Islam seputar siapa sebenarnya Ataturk walaupun beliau jelas menzahirkan sikap anti-Islamnya.

    Sebagai muslim, pendirian kita seharusnya jelas tentang status personaliti ini kerana apa yang dibawa oleh seseorang itu mewakili akidahnya dan akidah merupakan teras agama. Allah SWT menggariskan penduan yang jelas berhubung soal akidah ini dalam surah Al-Maidah ayat 51:

    {Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil (atau menganggap) orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai penolong (atau pemimpin), sedang mereka adalah penolong/pemimpin sesama mereka. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi penolong/pemimpin, maka sesungguhnya dia termasuk dari kalangan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.}

    Tidak perlulah rasanya untuk menyebut tentang penyakit beliau, kisah kematian beliau, peristiwa “Pembunuhan Beramai-ramai orang Armenia” (Armenian Genocide), yang mana belum tentu disokong dengan dalil atau bukti yang kukuh.

    Ada bukti lisan yang menunjukkan beliau bukan semata-mata seorang Yahudi Doenmeh rahsia, bahkan keturunan rahsia ke-17 nabi palsu Yahudi bernama Sabbatai Zevi iaitu sebuah akhbar Yahudi, “Forward”, bertarikh 28 Januari 1994, bertajuk “Apabila Kemal Ataturk membacakan Shema Yisrael”, beliau dipetik sebagai berkata:

    “Ia adalah doa rahsia saya juga” akui beliau.

    Keratan Akhbar Forward tersebut

    Tidak ada seorang pun yang menyangkal hal ini. Lebih janggal lagi, regim beliau sendiri pernah menolak untuk mendedahkan latar belakangnya. Kenapa? Anda boleh agak sendiri.

    Cerita tentang keyahudian Mustafa tetap dinafikan beliau dan tidak pernah diambil serius oleh para penulis biografi. Satu rujukan ilmiah Yahudi iaitu Israeli Entsiklopedya Ha-Ivrit dipetik yang bermaksud:

    Mustafa Kemal dilahirkan dalam sebuah keluarga kerani kastam di Salonika dan kehilangan bapanya ketika masih kecil. Tiada bukti terhadap kepercayaan yang tersebar di kalangan orang Yahudi dan Islam bahawa keluarganya dari kalangan pengikut Donmeh. Ketika budak, dia memberontak terhadap kehendak ibunya untuk memberiknya pendidikan agama tradisional, dan pada umur 12 tahun beliau dihantar belajar di Akademi Ketenteraan atas kemahuannya.

    Apakah maksud Doenmeh? Ia merupakan sebuah kultus berhaluan kiri dari kalangan orang Yahudi Turki yang menggunakan nama Islam, di luar berlakon sebagai orang Islam, tetapi secara senyap beriman kepada Sabbetai Zevi, seorang Nabi Palsu Yahudi kurun ke-17. Mereka juga mengamalkan kahwin sesama sendiri, bertukar-tukar isteri dan golongan ini banyak bertumpu di kawasan Salonika.

    Dalam satu pertemuan dengan seorang wartawan Yahudi bernama Ben-Avi, Mustafa berkata:

    “Aku adalah pewaris Sabbetai Zevi, bukanlah seorang Yahudi lagi, akan tetapi seorang yang mengagumi Nabi kalian ini. Pada aku, semua Yahudi di negara ini bagus jika menjadi pengikutnya.”

    Beliau turut berkata:

    “Aku memiliki sebuah Bible Ibrani yang dicetak di Venice. Ianya agak lama, dan aku masih ingat bapa aku membawa aku menemui guru Karaite yang mengajar aku membacanya. Aku masih ingat beberapa ayat darinya, seperti:

    “Shema Yisra’el, Adonai Elohenu, Adonai Ehad!”

    “Itulah doa kami yang paling penting. Dan ia doa rahsia aku juga.”

    Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

    “Manusia yang paling buruk adalah orang yang bermuka dua, yang mendatangi kaum dengan muka tertentu dan mendatangi lainnya dengan muka yang lain.” (Hadith Riwayat Bukhari)

    Berkenaan dengan status beliau sebagai sebuah kultus sulit Freemason, Ataturk pernah dilihat mempamerkan isyarat tangan Freemason dengan memasukkan sebahagian tangan ke dalam baju (rujuk gambar di bawah). Mengikut Texe Marrs dalam bukunya Codex Magica, beliau mendedahkan itu merupakan salah satu isyarat bagi Gerakan Masonik Rahsia.

    Ataturk ketika mempamerkan isyarat tangan Freemason

    Dari segi perjuangan beliau membebaskan Turki, terdapat beberapa perkara yang boleh dicurigai apabila melihat kronologi peperangan yang beliau pimpin dan sertai. Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan tenteranya berjaya mengalahkan British 2 kali di Semenanjung Galipoli (1915-1916), sedangkan dari segi kekuatan, tentera British dan Perancis memiliki kelebihan. Disebabkan kemenangan tersebut, beliau kemudian dilantik sebagai Jeneral. Ini dilihat tidak lain merupakan strategi menaikkan nama dan reputasi Mustafa di mata kerajaan dan umat Islam secara umumnya. Ketika Perang Balkan 1916, beliau berundur ke Anatolia dan pada 1917 tentera Greek menyerang Anatolia dengan bantuan Pakatan Bersekutu selama seminggu, kemudian mereka tiba-tiba berundur. Dalam satu kempen ketenteraan di Palestin pada 1918, beliau telah membenarkan Inggeris mara ke utara tanpa tentangan sementara pasukannya dibawa ke Damsyik. Selepas British mencadangkan Perjanjian Lausanne pada tahun 1922, beliau cuba sedaya upaya mempengaruhi parti-parti pembangkang untuk menerima tuntutan British, namun gagal. Cubaan kedua menggunakan parlimen juga gagal lalu konspirasi dirancang dan akhirnya beliau berjaya dengan menggunakan Himpunan Kebangsaan (Grand National Assembly) yang menyaksikan Khalifah Sultan Abdul Hamid II digulingkan serta sistem Khilafah dibubarkan.

    Seorang ahli parlimen pernah memprotes perjanjian yang dicetuskan oleh Lord Curzon tersebut dengan bertanya:

    “Kenapa negara Turki diberi kemerdekaan sedangkan negara-negara Arab lain dijajah?”

    Jawab Lord Curzon:

    “Pokoknya Turki sudah pun dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, sebab kami sudah musnahkan kuasa spiritualnya; Khilafah dan Islam.”

    Pada tahun 1938, Mustafa Kemal berucap di sisi Duta Amerika Syarikat, Joseph Clark:

    “… Saya tidak ragu bahawa Amerika yang sehingga kini menyokong idea ini (gagasan demokrasi) merupakan sahabat Turki dan matlamatnya (model ikutan) …”

    Syarikat Insurans Amerika The Prudential pada tahun 1958 telah menerbitkan sebuah filem berjudul ‘The Incredible Turk’ yang menceritakan tentang kehebatan Mustafa Kemal. Dalam sejarah dunia, amat jarang malah hampir tidak ada tokoh Islam di dunia yang dimartabatkan dalam industri perfileman. Usahkan dijulang, Islam dan tokohnya terus-menerus dihina dan ditelanjangkan oleh industri filem Barat. Ini membuktikan Ataturk sebenarnya lebih menyebelahi dunia barat, kapitalis atau mudahnya musuh Islam, jika tidak mustahil beliau disanjung sebegitu rupa.

    Di luar bangunan utama Kompleks Makam dan Muzium Ataturk, Ankara
    Di hadapan Makam “Simbolik” Ataturk, bersama jemaah Mursyid Alharamain

    Mengenali peribadi beliau membolehkan kita sebagai umat Islam meletakkan pendirian dan sikap yang jelas tentang sosok yang pernah memainkan peranan signifikan dalam sejarah ketamadunan Islam khususnya dan dunia amnya. Paling utama kita harus mengambil iktibar di sebalik rentetan sejarah yang memberi tamparan hebat kepada dunia Islam, agar kesilapan yang sama tidak diulangi lagi. Bagi yang melawat makam beliau, ia sepatutnya lebih mengingatkan kita umat Islam supaya lebih belajar tentang sejarah, kerana sejarahlah yang menjadikan kita begini dan dengannya juga kita mampu mengubah masa depan in-sya-Allah.

    Wallahua’lam.

  • HAGIA SOPHIA BAKAL JADI MASJID SEMULA?

    HAGIA SOPHIA BAKAL JADI MASJID SEMULA?

    ANKARA-TURKI. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan bangunan ikonik, Hagia Sophia di Istanbul yang telah dijadikan muzium sejak 1935 mungkin akan dibuka semula sebagai masjid.

    “Kami mungkin akan mengubah namanya kepada Masjid Hagia Sophia. Ia bukan cadangan yang pelik. Kita mungkin akan mengambil langkah itu.” katanya ketika wawancara stesen penyiar TGRT.

    Sejak beberapa tahun lalu, gesaan semakin meningkat untuk menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid semula.

    Namun Mahkamah Tinggi Turki menolak permintaan untuk membuka semula bangunan purba itu sebagai masjid.

    Ia dibina sebagai gereja Ortodoks pada tahun 537 ketika Konstantinopel menjadi tempat kelahiran Empayar Byzantine dan dilihat sebagai salah satu keajaiban Zaman Pertengahan dengan lambang seni bina Rom.

    Selepas penaklukan Empayar Turki Uthmaniyyah yang dipimpin Sultan Mehmet pada 1453, ia telah ditukar menjadi masjid sehingga 1935 apabila visi sekular Mustafa Kemal Ataturk menukarnya kepada muzium dan dibuka kepada orang ramai.

    Pada 2015, seorang ulama membaca al-Quran dalam bangunan yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu buat pertama kali dalam tempoh 85 tahun. -Ahvalnews